Jumaat, 24 Februari 2017 | 12:39am

Ahli arkeologi warga Jerman diculik di Nigeria

KANO, Nigeria: Dua ahli arkeologi lelaki warga Jerman dilaporkan diculik di Kaduna, utara Nigeria, sekali gus menimbulkan kebimbangan peningkatan kes penculikan di wilayah itu.

Menurut polis, kedua-duanya yang berkhidmat dengan Suruhanjaya Tugu dan Muzium Kebangsaan Nigeria, dipercayai diculik pada jam 8.55 pagi waktu tempatan ketika berada di lokasi penggalian di utara Kaduna, Rabu lalu.

Ketua Polis Persekutuan, Ibrahim K Idris, berkata kedua-dua mangsa mengupah pengawal peribadi untuk melindungi keselamatan mereka tetapi tidak mengikut mereka ke lokasi penggalian budaya Nok purba.

Berikutan itu, katanya, helikopter pemantau dan pegawai antikeganasan dan antipenculikan dikerah bagi memburu pihak bertanggungjawab.

Menteri Luar Jerman di Berlin tidak mengeluarkan kenyataan berhubung penculikan itu, tetapi menurut penduduk, dua wanita dipercayai warga Jerman turut bersama kedua-dua mangsa ketika serangan berlaku.

"Penculik yang dilengkapi senjata api dan parang mengarahkan kedua-dua warga Jerman itu mengikut mereka masuk ke dalam semak," kata seorang penduduk yang enggan dikenali atas faktor keselamatan.

"Amat mengejutkan kerana mereka tidak menculik dua wanita warga Jerman yang juga rakan sekerja lelaki itu. Mereka turut melepaskan tembakan ke udara bagi menakutkan penduduk kampung sebelum menculik lelaki Jerman itu," katanya.

Idris berkata, dua penduduk kampung terbunuh dalam kejadian itu. - AFP

Berita Harian X