Khamis, 25 Disember 2014 | 3:34pm

Kementerian Pendidikan kaji tangguh penggal persekolahan 2015 di negeri pantai timur

JERTIH: Kementerian Pendidikan sedang menimbang kemungkinan untuk menangguhkan penggal persekolahan baharu 2015 di negeri pantai timur yang dijadualkan bermula pada 4 dan 5 Januari ini ke satu tarikh sesuai.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata ini berikutan banyak sekolah terutama di Kelantan, Terengganu dan Pahang terjejas teruk akibat banjir.

Beliau berkata, pihak kementerian sedang menunggu laporan dari Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) terbabit sebelum keputusan dibuat sama ada sekolah boleh dibuka atau tidak pada tarikh dijadualkan.

"Sebahagian besar sekolah juga masih digunakan sebagai pusat pemindahan banjir dan tidak boleh dijadikan tempat belajar.

"Jika banjir berterusan dan bertambah buruk, penggal persekolahan baru akan diumumkan kemudian," katanya selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Menengah Kuala Besut di sini, hari ini.

Mengenai sekolah yang rosak teruk akibat banjir, beliau berkata, kementerian belum menerima laporan daripada jabatan terbabit kerana banjir masih belum surut.

Beliau meminta Pejabat Pendidikan Daerah membuat laporan kepada JPN masing-masing sebaik saja banjir pulih.

Berita Harian X