Jumaat, 24 Februari 2017 | 3:01pm

MBI tingkat pengawasan papan tanda IPOH


DATUK Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man beramah mesra dengan orang ramai pada Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis MBI di Dewan Mesyuarat MBI, Ipoh, hari ini. - Foto Muhaizan Yahya

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan meningkatkan pengawasan di dua mercu tanda gergasi IPOH bagi memastikan kejadian ia diceroboh tidak berulang.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata, antara langkah yang diambil ialah memagar kawasan sekitar papan tanda terbabit.

Ketika ini, ada dua mercu tanda IPOH iaitu di bersebelahan Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Simpang Pulai dan di Jalan Kuala Kangsar.

"Tindakan memagar kini dalam proses dan pegawai sedang membuat kajian bagi menentukan spesifikasi serta bentuk pengawasan," katanya.

Beliau memberitahu demikian selepas menghadiri Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis MBI di Dewan Mesyuarat MBI, di sini, hari ini.

Zamri berkata, meskipun polis memaklumkan kes pencerobohan mercu tanda yang dilaporkan sebelum ini sudah selesai, siasatan mungkin dipanjangkan kepada pihak yang berkaitan.

BH sebelum ini melaporkan MBI membuat laporan polis susulan tindakan pencerobohan papan tanda IPOH oleh sekumpulan remaja.

Remaja berkenaan mengakui kesilapan mereka dan memohon maaf atas perbuatan itu.

Selepas kecoh dengan isu lapan remaja memanjat IPOH, kawasan itu sekali lagi digemparkan dengan foto seorang pemuda lain dikenali dengan nama instagram Kerabupauh memanjat papan tanda gergasi itu.

Berita Harian X