Jumaat, 24 Februari 2017 | 7:21pm

Gandingan Peng Soon-Mei Kuan mara ke final

PASANGAN beregu, Chan Peng Soon (kanan) dan Chow Mei Kuan. - Foto BERNAMA
PASANGAN beregu, Chan Peng Soon (kanan) dan Chow Mei Kuan. - Foto BERNAMA

IPOH: Pasangan bukan pilihan, Chan Peng Soon-Chow Mei Kuan melakukan kejutan apabila menumpaskan pilihan utama, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan gandingan itu mara ke final acara beregu campuran Kejohanan Badminton Kebangsaan Celcom-Axiata 2017 di Dewan Seri Perdana, Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Azlan Shah, Ulu Kinta, esok.  

Bergandingan buat kali pertama, Peng Soon dan Mei Kuan bagaimanapun tidak kekok ketika mencatat kemenangan dalam pertarungan tiga set itu. 

Pasangan itu menang 21-17 pada set pertama tetapi tumpas 19-21 permainan set kedua sebelum menguasai set penentuan untuk menang 21-19.

"Saya gembira dengan kejayaan ini. Ini kali pertama kami digandingkan dan tidak pernah bermain bersama sebelum ini. 

"Kami turun tanpa tekanan pada perlawanan ini dan bermain permainan biasa. 

"Kejayaan ini meningkatkan keyakinan kami di final tidak kiralah siapa lawannya nanti ," kata Peng Soon.

Berita Harian X