Khamis, 25 Disember 2014 | 5:24pm
PELANCONG asing yang terkandas di Mutiara Taman Negara Resort Kuala Tahan berjaya dibawa keluar ke Jerantut. - Foto Nazirul Roselan

Usaha bawa keluar 102 pelancong terkandas di Kuala Tahan berjalan lancar

JERANTUT: Usaha membawa keluar semua 102 pelancong yang terkandas di Mutiara Taman Negara, Kuala Tahan, dekat sini berjalan lancar dan dijalankan secara berperingkat.

Pelancong berkenaan dibawa keluar menggunakan dua helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sejak jam 10 pagi tadi dan ia dijangka selesai kira-kira jam 5.30 petang ini.

Helikopter itu mendarat di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Saujana dan akan dibawa ke Kuala Lumpur menggunakan van milik ejen pelancongan.

Ditemui BH sebaik saja mendarat, seorang guru dari Amsterdam, Belanda, Wilbert Sawat, 32, berkata dia bersama isterinya, Marloes Posthume, 28, dan anaknya, Sam Sawat yang berusia 19 bulan gembira kerana diselamatkan daripada terus terkandas.

"Bagi saya ini bukan satu pengalaman buruk tetapi mencabar, kami tidak merasa takut kerana rakyat Malaysia yang begitu prihatin dan mengambil berat kebajikan kami sepanjang berada di sana (Taman Negara, Kuala Tahan).

"Segala pertolongan mereka kepada kami akan dikenang, kami tidak akan serik lagi untuk datang ke Taman Negara pada masa depan," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Pusat Kawalan Pperasi Banjir Jerantut, Ali Syahbana Sabaruddin, berkata proses pemindahan itu bukan hanya untuk membawa pelancong tetapi turut membabitkan penduduk tempatan yang sakit dan ibu mengandung ke Hospital Jerantut.

"Kerjasama diberikan semua pelancong dan agensi lain amat baik dan ia membolehkan proses hari ini berjalan lancar tanpa sebarang masalah," katanya.

Berita Harian X