Jumaat, 24 Februari 2017 | 11:02pm

F1: McLaren cari sentuhan kemenangan


McLaren memperkenalkan jentera berwarna jingga hitam mereka yang berakar umbi pada 1960an. - Foto Reuters

WOKING (England): McLaren melaungkan era baharu menghadapi cabaran Formula Satu (F1) musim ini apabila memperkenalkan jentera berwarna jingga hitam mereka yang berakar umbi pada 1960an.

Jentera menggunakan enjin Honda pasukan bekas juara itu gagal memenangi sebarang perlumbaan sejak 2012, menduduki tangga keenam tahun lalu, tetapi memasang matlamat untuk menjejaki podium menerusi pemandu Sepanyol Fernando Alonso dan muka baharu Belgium, Stoffel Vandoorne.

"Kami pasti menang semula," kata Pengarah Perlumbaan Eric Boullier.

Sama ada mereka mampu melakukannya musim ini ketika dominasi penuh juara Mercedes sejak tiga tahun lalu, selain kehebatan Red Bull dan Ferrari di depan mereka, pasti menarik tumpuan peminat.

Alonso, juara dunia bersama Renault pada 2005 dan 2006, berkata dia komited 100 peratus tetapi mengakui masih banyak perlu dilakukan tahun ini.

"Kami semua realistik, terutama saya kerana menyedari kami perlahan 1.5 saat berbanding jentera lain ketika perlumbaan terakhir di Abu Dhabi," katanya.

"Kami perlu bingkas menutup jurang besar itu sekiranya bercita-cita mahu menang tahun ini. Memenangi perlumbaan F1 adalah amat sukar tetapi menang selepas menduduki tangga keenam pada tahun sebelumnya tidak pernah dilakukan sesiapa pun," kata pemandu 35 tahun itu.

"Kami perlu bekerja keras, dan lebih bijak berbanding orang lain."


WARNA jingga adalah sentuhan jentera yang dibina penciptanya, mendiang Bruce McLaren. - Foto Reuters

Banyak yang berubah berbanding tahun lalu, dengan bekas jawatan prinsipal dan pemegang saham Ron Dennis digantikan oleh pakar pemasaran Amerika, Zak Brown.

"Kami akan tiba di sana," kata Brown. "Pasukan ini sangat kecewa kerana gagal memenangi sebarang perlumbaan... dan sebaik mencapai tahap itu, kami pasti sukar ditewaskan."

Jentera masih menggunakan nama MP4 yang diperkenalkan Dennis, manakala warna jingga adalah sentuhan jentera yang dibina penciptanya, mendiang Bruce McLaren.

"Sejarah kami sungguh mengagumkan dan kita tidak seharusnya melupakan asal usul kita," kata Brown. "Cuma adalah perkara biasa apabila ada ketikanya kita perlu menekan butang 'semula'. Sama seperti ketika Bruce McLaren menyerahkan obor kepada era MP4, kini kita mempunyai era MCL.

"The MTC (Pusat Teknikal McLaren) seperti Star Wars," katanya merujuk kepada musuh dan wira filem itu. "Kami memberi sedikit sentuhan Darth Vader sejak beberapa tahun dan kita akan mempunyai sedikit Luke Skywalker selepas ini." - Reuters

32 dibaca
Berita Harian X