Sabtu, 25 Februari 2017 | 12:15pm

Aspek kebajikan anggota ATM jadi keutamaan

MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hadir di Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Siri 181-2/2016 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman

PORT DICKSON: Aspek kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diangkat sebagai antara lima teras yang diberi tumpuan oleh Kementerian Pertahanan pada tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata usaha menjulang jasa dan keberanian anggota tentera perlu dilakukan dengan cara yang lebih besar dan setimpal.

Katanya, usaha sekarang seperti menubuhkan tabung, mengutip derma, mengadakan majlis membaca Yasin dan tahlil serta menabur bunga di pusara boleh diteruskan.

PERBARISAN Tamat Latihan Perajurit Muda Siri 181-2/2016 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson, Negeri Sembilan.

"Bagaimanapun, jasa dan pengorbanan anggota ATM perlu dihargai dengan cara jauh lebih bermakna dan memberi impak," katanya pada majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini, hari ini.

Sehubungan itu, katanya anggota Tentera Darat perlu diberikan latihan dan kepakaran terbaik, terkini dan bertaraf dunia.

Beliau berkata, hanya dengan cara itu, pasukan tentera akan dapat bertahan dan menjadi lebih berkesan.

Berita Harian X