Sabtu, 25 Februari 2017 | 11:33pm

Kedah tutup mulut penyokong Pulau Pinang

PEMAIN Kedah, Mohd Rizal Ghazali (kiri) diasak pemain Pulau Pinang, Andrew James Russel pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman malam ini. - Foto BERNAMA

ALOR SETAR: Kedah menambah tiga mata pada carta liga apabila menewaskan Pulau Pinang 3-1 dalam aksi 'derby' utara Liga Super di Stadium Darul Aman, malam ini.

Beraksi di hadapan lebih 25,000 penyokong yang membanjiri stadium, Helang Merah melakukan gerakan seawal minit pertama apabila Baddrol Bakhtiar membuat percubaan melalui sepakan percuma dari bahagian sayap kanan tetapi ditangkap kemas penjaga gol Pulau Pinang, Syed Adney.

Begitupun, Kedah tersentap dengan gol pertama Pulau Pinang melalui gerakan pantas Mohd Faizat dan Faiz Subri yang mendapat lorongan untuk melakukan penyudah pada minit ke-18.

Namun Kedah tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan hasil rembatan kencang Fitri Omar selang dua minit.

Aksi semakin rancak apabila pada minit ke-30 Baddrol mendapat peluang dengan rembatan dari kanan gawang lawan tetapi percubaannya sedikit melencong.

PEMAIN Kedah, Baddrol Bakhtiar (kanan) berebut bola dengan pemain Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman. - Foto Amran Hamid

Ken Ilso pula hampir menambah gol Kedah pada minit ke-31 namun percubaannya juga tersasar di sebelah kanan pintu gol pelawat untuk kedudukan kekal 1-1 di hujung separuh masa pertama.

Bermula babak kedua, Kedah terus mengasak melalui percubaan bahaya Ilso pada minit ke-49 namun Syed Adney menafikan cubaan itu.

Malah dua cubaan Baddrol pada minit ke-54 dan minit ke-61 ditepis keluar hinggalah Syafiq Ahmad meletakkan Kedah di hadapan dengan kuisan pantas pada minit ke-75 hasil sepakan percuma Baddrol.

Krisis yang melanda kepimpinan persatuan Pulau Pinang dan penyokongnya nyata memberi kelebihan apabila Kedah menambah gol ketiga menerusi jaringan Liridon Krasniqi pada minit ke-86 untuk mengesahkan kedudukan 3-1 kekal hingga tamat.

Berita Harian X