Ahad, 26 Februari 2017 | 4:41pm

PRASARANA intai peluang baharu di 3 negara

 


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz. - Foto Surianie Mohd Hanif

KUALA LUMPUR: Syarikat penyedia pengangkutan awam negara, Prasarana Malaysia Bhd (PRASARANA) sedang mengintai peluang perniagaan baharu di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE); Mumbai, India dan Brunei Darussalam.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz, berkata perbincangan itu membabitkan kerjasama dalam bidang khidmat perundingan, pengangkutan awam, operasi dan penyelenggaraan khasnya pengangkutan awam rel serta bas.

"Ini negara yang kita sudah mulakan perbincangan, tahun ini," katanya selepas mengiringi delegasi media Arab Saudi yang melawat kemudahan PRASARANA, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Resource Corporation Bhd (MRCB), Tan Sri Mohamad Salim Fatih Din dan ketua delegasi media Arab Saudi merangkap Presiden Agensi Berita Saudi, Abdullah F Ali Hussain.

Lawatan delegasi seramai 22 wakil media dari Arab Saudi ke PRASARANA itu adalah sempena kunjungan selama empat hari Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia, mulai hari ini.

Lawatan itu memberi pendedahan kepada delegasi media terbabit mengenai operasi Mass Rapid Transit (MRT) dan depoh Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) di Subang mengenai konsep pembangunan berasaskan pengangkutan (TOD) yang dilaksanakan PRASARANA.

Pada masa ini PRASARANA sudah mengembangkan sayap kerjasama dengan rakan strategik dalam pengangkutan awam dan rel di London, Makkah, Bangkok, Jakarta dan Tokyo.

Azmi berkata, PRASARANA akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat dari Arab Saudi dalam projek pengangkutan rel sempena kunjungan Raja Salman ke negara ini.

"MoU ini akan dimuktamadkan dalam sehari dua ini. Selepas MoU ini ditandatangani, saya akan kongsi perinciannya. Kerjasama ini dalam bidang pengangkutan rel yang menjadi kepakaran kami.

"Pada ketika ini kita hanya bekerjasama dengan satu rakan strategik dari Arab Saudi tetapi kita tidak tutup potensi kerjasama dengan rakan strategik yang percaya dengan PRASARANA untuk sama-sama berganding bahu untuk operasi dan membantu perniagaan mereka di Arab Saudi," katanya.

​​​​​​

Berita Harian X