Isnin, 27 Februari 2017 | 12:01am

Potensi Kampung Budu jadi hub sejarah, budaya


WARIS keturunan Mat Kilau, Roslizan Ahmad Mahidin menunjukkan perigi Mat Kilau di Kampung Budu. - Foto Luqman Hakim Zubir

KAMPUNG Budu di Kuala Lipis, Pahang berpotensi dibangunkan sebagai hub sejarah dan budaya berdasarkan kedudukannya sebagai kampung tertua di Hulu Pahang.

Lebih istimewa dari segi sejarah, kampung berkenaan mencatatkan kelahiran tokoh pahlawan dan pejuang kemerdekaan silam seperti Khatib Rasu Abdul Salam yang lebih dikenali sebagai Tok Gajah dan anaknya, Mat Kilau.

Kesan sejarah pejuang

Selain Kampung Budu, Kampung Pulau Tawar di Jerantut juga sesuai dibangunkan berdasarkan kesan sejarah membabitkan pejuang zaman di daerah berkenaan.

Antaranya Masjid Kampung Pulau Tawar yang direkodkan sebagai lokasi bangkitnya semangat nasionalisme menentang Inggeris di negeri itu.

Hal itu dikongsi Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang juga waris Tok Gajah pada Majlis Pelancaran Persatuan Waris Tok Gajah yang dikenali Persatuan Tok Shahrom-Tok Gajah-Mat Kilau (Indera Gajah Pahang) di Saloma Bistro di sini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementeriannya, Datuk Ab Ghaffar A Tambi dan Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Dr Zainah Ibrahim.

Mohamed Nazri berkata, tindakan menjadikan kawasan itu sebagai hub sejarah dan budaya bukan hanya mampu menarik pelancong, bahkan membolehkan generasi muda mengetahui kepayahan perjuangan pahlawan silam untuk mengekalkan kedaulatan dan kemerdekaan tanah air.

"Selain itu, usaha penubuhan persatuan begini memudahkan lagi penyelidikan berkaitan pahlawan silam dan mendapatkan fakta dari sumber yang sebenar.

"Sejarah Malaysia sebelum ini ditulis oleh sarjana Barat yang merujuk pejuang tanah air sebagai penderhaka walaupun mereka sebenarnya berjuang untuk mempertahankan kedaulatan tanah air daripada penjajahan British," katanya.

Untuk rekod, Kampung Budu selain diketahui sebagai tempat lahirnya Mat Kilau ia juga lokasi peperangan strategik pada zaman silam kerana kedudukannya yang dikelilingi tiga bukit.

Kampung Budu dianugerahkan oleh Sultan Pahang kepada Tok Gajah berikutan bantuan beliau dalam Perang Klang yang menyaksikan ketika itu Pahang menyebelahi Sultan Selangor, Sultan Abdul Samad, sekali gus menerima gelaran kebesaran Pahang, iaitu Orang Kaya Indera Gajah.


WARIS keturunan Mat Kilau, Roslizan Ahmad Mahidin ketika meninjau tanah perkuburan syuhada yang menempatkan pejuang-pejuang yang mati syahid semasa menentang Inggeris di Kampung Budu. - Foto Luqman Hakim Zubir

Perjuangan menentang penjajahan

Sejarah negara mencatatkan Tok Gajah adalah pejuang kemerdekaan bersama-sama Datuk Bahaman menentang penjajahan British selain Mat Lela dan anaknya, Mat Kilau yang turut terbabit dalam Pemberontakan Pahang 1891-1895.

Tentangan yang diberikan terhadap penjajah menyebabkan British sedaya-upaya cuba membunuhnya sehingga tokoh berkenaan terpaksa berundur ke Kuala Ampul di Kelantan dan ke Seberang Engku Ngah di Kuala Terengganu, sebelum kembali ke Pahang dan terbabit dengan pertempuran menentang penjajah terbabit.

Tok Gajah bagaimanapun meninggal dunia pada 1901 dan disemadikan di Kampung Pasir Nering, Kuala Berang.

Berita Harian X