Isnin, 25 Ogos 2014 | 5:24pm
MENTERI Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melawat tapak pameran selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Bio Johor 2014 di Persada Johor, hari ini. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

BiotechCorp lancar inisiatif bangunkan bioekonomi luar bandar Johor

JOHOR BAHRU: Malaysian Biotechnology Corporation Sdn Bhd (BiotechCorp) menggariskan empat inisiatif utama di bawah Program Pembangunan Komuniti Bioekonomi yang bakal memberikan manfaat bagi memperkukuhkan bioekonomi luar bandar di Johor.

Inisiatif itu dilaksanakan menerusi kerjasama BiotechCorp dengan Johor Biotechnology & Biodiversity Corporation (J-Biotech) dan Koperasi Permuafakatan Kota Tinggi, dengan empat syarikat berasaskan bio yang dikenal pasti di bawah program berkenaan.

Syarikat berkenaan ialah PureCircle Sdn Bhd bagi memajukan penanaman pokok stevia, The Holstein Milk Company Sdn Bhd (ladang tenusu), Bio-Alpha (Johor Herbal) Sdn Bhd (ladang herba) dan Flora Bee Hive Enterprise Sdn Bhd (ladang madu lebah).

Ketua Pegawai Eksekutif BiotechCorp, Datuk Dr Mohd Nazlee Kamal, berkata projek perintis itu dijangka membabitkan pembangunan tanah terbiar seluas 112 hektar di Kota Tinggi.

Buat permulaan, projek itu akan membabitkan penyertaan 20 petani dan dijangka menjana pendapatan tambahan kira-kira RM2.2 bilion kepada ekonomi negeri.

Sejajar langkah BiotechCorp untuk mengubah potensi pembangunan luar bandar menerusi bioekonomi, usaha ditumpukan kepada penggunaan teknologi berasaskan bio dan menyediakan rangkaian pengeluaran bioekonomi yang lengkap.

"Menerusi peluang pengkomersialan baharu dalam bioekonomi dan Program Pembangunan Komuniti ini, Johor berada pada landasan untuk menyumbang lebih RM100 juta kepada pendapatan negara kasar (GNI) menjelang 2020," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Persidangan dan Pameran Bioteknologi (Bio Johor 2014) di sini hari ini.

Program Bio Johor yang berlangsung selama tiga hari di Persada Johor, dirasmikan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani, Johor, Ismail Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif J-Biotech, Wan Amir Jefferery Wan Abdul Majid.

Pada majlis itu, BiotechCorp turut mengumumkan kerjasama dengan Universiti Malaysia Pahang menerusi Pusat Industri Kecemerlangannya (ICOE) dan J-Biotech.

Kerjasama itu membabitkan usaha membangunkan modal insan dalam teknologi berasaskan bio menerusi penubuhan National Biotechnology Talent Development Centre (NBTDC) yang dijangka beroperasi pada Januari 2015.

Sementara itu, Khaled dalam ucapannya berkata, inisiatif pembangunan bioekonomi Johor dijangka menyumbang secara ketara iaitu RM10 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2020.

Ketika ini industri bioteknologi tempatan menyumbang 2.2 peratus kepada KDNK dan Johor menyasarkan untuk menjadi peneraju menerusi pelaksanaan pelbagai projek bagi membantu negara mencapai sasaran sebanyak lima peratus menjelang 2020.

"Menerusi program BioNexus yang dikendalikan BiotechCorp, sebanyak 25 syarikat Johor berstatus BioNexus menyumbang lebih RM400 juta dalam pelbagai perniagaan berasaskan bio seperti tanaman bioteknologi, akuakulktur dan kimia khusus serta penemuan produk asli," katanya.

Berita Harian X