Isnin, 27 Februari 2017 | 4:07pm

2 rakan berdepan hukuman gantung

TERTUDUH, Daniel Chua Abdullah (kiri) dan Lee Chee Wai, (dua dari kiri) dibawa keluar dari mahkamah selepas jurubahasa membacakan tiga pertuduhan kedua-duanya didapati mengedar dadah heroin seberat 17gram (g), metaphetamine (5.3g) dan nimetazepam (8.25g) di sebuah villa di Jalan Laksamana, Taman Seri Bandar. - Foto Nurul Fhatihah Zakinan

AYER KEROH: Dua sahabat berdepan hukuman gantung sampai mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tiga tuduhan mengedar dadah di sebuah villa di Taman Seri Bandar, dua minggu lalu.

Daniel Chua Abdullah, 49, dan Lim Chee Wai, 41, hanya mengangguk faham terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Analia Kamaruddin.

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa mengedar dadah heroin seberat 17gram (g) yang disenaraikan di Bahagian III Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 di sebuah villa di Jalan Laksamana, Taman Seri Bandar, jam 10.30 pagi pada 13 Februari lalu.

Untuk kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(A), Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2), akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Pertuduhan kedua, kedua-dua tertuduh didakwa mengedar metaphetamine seberat 5.3g pada tarikh, waktu dan lokasi sama.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952, dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(1) akta sama dan dibaca mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan maksimum sembilan sebatan.

Pertuduhan terakhir, kedua-dua tertuduh didakwa mengedar nimetazepam seberat 8.25g pada tarikh, waktu dan lokasi sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952, dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama dan dibaca mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Superintendan Nora Yaacob tidak menawarkan jaminan.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh dan menetapkan 20 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula.

Berita Harian X