Jumaat, 26 Disember 2014 | 5:19pm

Teater Takhta 3 Ratu portfolio baik untuk diri saya - Erra Fazira

[email protected]

KUALA LUMPUR: Bertindak sebagai penerbit dan pelakon dalam masa yang sama, Erra melihat pementasan teater Takhta 3 Ratu yang dipentaskan 13 hingga 22 Disember lalu menjadi satu portfolio baik buat dirinya.

Berjaya mendapat kutipan memberangsangkan atau sebaliknya tidak langsung mematahkan semangat Erra untuk mengukuhkan lagi namanya sebagai pelakon dan pemilik syarikat Erra Fazira Entertainment.

Pujian harus diberikan kepada mereka yang bertanggungjawab mementaskan teater ini di Panggung Sari Istana Budaya termasuk Erma Fatima sendiri selaku pengarah dan penerbit di bawah syarikat Rumah Karya Citra Sdn Bhd.

Dalam tempoh yang singkat, teater yang turut dibintangi Awie, Soo Wincci, Izreen Azminda, Tasha Shilla, Michael Ang, Remy Ishak, Datuk Rahim Razali dan ramai lagi ini masih boleh dibanggakan sekalipun ada yang melihat ia mendapat sambutan sederhana di kalangan peminat teater.

"Teater ini teater berat tapi mampu disampaikan dalam bentuk yang sederhana oleh Erma. Set pementasan teater ini juga mampu dibanggakan selain komitmen pelakon yang cukup hebat. Alhamdulillah kepada yang menontonnya dan gembira dengan hasilnya.

"Namun dari segi pulangan ia agak tidak memuaskan hati apatah lagi pada hujung tahun. Tapi saya sahut cabaran ini semua demi menyajikan variasi persembahan epik kepada penonton. Teater ini portfolio baik untuk diri saya," katanya yang memegang watak Lela Wangsa dalam teater berkenaan.

Erra kini juga sibuk mempromosikan kalendar meja dan Rara Cookies kepada peminatnya.

Nama Rara itu sebenarnya antara panggilan manja yang diberikan kepadanya di kalangan mereka yang cukup rapat.

Kepada yang berminat untuk mendapatkan kalendar meja dan biskut itu boleh layari Instagram @intanzabidin dan @eeasonestop

Berita Harian X