Selasa, 28 Februari 2017 | 12:01am

Putera Adam mahu jadi sehebat 'Schumi'

PELUMBA Go Kart, Putera Adam Halim. - Foto Hasriyasyah Sabudin
PELUMBA Go Kart, Putera Adam Halim. - Foto Hasriyasyah Sabudin

SUBANG JAYA: Walaupun nama Putera Adam Halim kini mula dikenali peminat sukan pemotoran negara selepas berjaya menaiki podium perlumbaan X30 Asia Challenge 2017 di Litar Go Kart Sepang, Selangor dan WSK Super Master Series di Itali dua tahun berturut-turut, beliau tetap mahu menjalani kehidupan sama seperti kanak-kanak seusianya.

Jadi, tidak hairanlah jika Putera Adam, 10, mempunyai pelbagai hobi seperti kanak-kanak lain seperti bermain permainan video, berenang dan bermain bola sepak bersama rakan.

Bagaimanapun, Putera Adam, hanya berpeluang untuk berenang, bermain permainan video atau bola sepak dengan rakan jika beliau tidak menjalani sebarang latihan atau menyertai mana-mana perlumbaan di Eropah mahu pun di Malaysia.

PUTERA Adam Halim bersama dua trofi kejuaraan WSK Super Master Series dua tahun berturut-turut. - Foto Nik Hariff Hassan
PUTERA Adam Halim bersama dua trofi kejuaraan WSK Super Master Series dua tahun berturut-turut. - Foto Nik Hariff Hassan

"Dari segi pemakanan pula, saya terpaksa banyak berkorban dan hanya makan hidangan vagetarian seperti sayur-sayuran dan buah-buahan kerana sukar mendapat makanan halal ketika menjalani latihan di Itali atau berlumba di Eropah.

"Bagaimanapun, saya tidak rasa itu sebagai masalah besar tetapi ia memang salah satu cabaran yang perlu saya tempuhi jika bercita-cita mahu menjadi pelumba Formula Satu (F1) suatu hari nanti," katanya yang sering berkelana bersama Imran Shaharom akan bertindak sebagai jurulatih, teman, abang dan segala-galanya untuknya ketika berada di luar negara.

Dapat lampu hijau

Pelumba remaja go-kart kelahiran Subang Jaya itu mencipta sejarah apabila muncul pelumba Malaysia pertama menaiki podium sebanyak dua kali pada saingan WSK Super Master Series, dua tahun berturut-turut.

PUTERA Adam mengisi masa lapang dengan permainan video. - Foto Nik Hariff Hassan
PUTERA Adam mengisi masa lapang dengan permainan video. - Foto Nik Hariff Hassan

Berikutan itu Putera Adam yang bernaung di bawah MVP Sports Agency menyimpan impian besar untuk terus menaiki podium di tiga lagi baki perlumbaan WSK Super Master Series di Litar Antarabangsa 7 Laghi, Itali (pada 2 hingga 5 Mac ini), diikuti Litar Antarabangsa La Conca (16 hingga 19 Mac) dan Litar Antarabangsa Napoli Sarno (6 hingga 9 April).

Dalam pada itu, Putera Adam yang mula menyertai perlumbaan go-kart sejak awal usia lapan tahun selepas mendapat 'lampu hijau' daripada bapanya, Datuk Muazzam Ayob, kini memasang impian dan bercita-cita mahu untuk menjadi pelumba F1 seawal usia 18 tahun.

"Walaupun saya amat kagum dengan corak pemanduan berani dan kepantasan pelumba Mercedes, Lewis Hamilton, sebenarnya idola saya dalam sukan F1 ialah pemandu legenda F1 berasal dari Jerman iaitu Michael Schumacher," katanya.

PUTERA Adam bersantai di kolam renang di kediamannya di Persiaran Putra Perdana, Subang Jaya, Selangor. - Foto Nik Hariff Hassan
PUTERA Adam bersantai di kolam renang di kediamannya di Persiaran Putra Perdana, Subang Jaya, Selangor. - Foto Nik Hariff Hassan

Profil:

Nama: Putera Adam Halim Muazzam

Tarikh lahir: XXXXX

Asal: Subang Jaya

Umur: 10 tahun

Idola: Michael Schumacher atau Schumi

Hobi: bermain bola sepak, permainan video dan berenang

Cita-cita: Pelumba F1

Berita Harian X