Selasa, 28 Februari 2017 | 12:02am

Jay Zulkarnain watak ikonik lasak Malaysia

DI Hollywood, mereka mempunyai beberapa watak ikonik yang dihasilkan menerusi filem aksi dan risikan cukup popular. James Bond, John McClane, Jason Bourne dan Jack Reacher ialah antara karakter daripada genre berkenaan yang cukup dekat di hati peminat. Persamaan mereka, selain watak lasak, nama masing-masing mempunyai pangkal huruf J di depan.

  Mengambil inspirasi daripada situasi itu, sebuah filem aksi tempatan turut menggunakan formula sama apabila meletakkan pangkal huruf J bagi watak utamanya. Filem berjudul J Revolusi terbitan syarikat produksi Grand Brilliance dan Infinitus Production itu bakal menemui penonton pada 2 Mac ini.

  Mengaku terpengaruh dengan watak ikonik yang ditontonnya itu, pengarah filem J Revolusi, Zulkarnain Azhar, berkata ia sekali gus memberikannya semangat untuk menghasilkan filem serupa.

  "Filem genre sebegini memberikan inspirasi kepada saya untuk menghasilkan karya aksi berkenaan perisikan. Arwah bapa saya juga penggemar filem Bond dan secara tidak langsung ia mempengaruhi saya untuk merealisasikan impian itu.


PENGARAH filem J Revolusi, Zulkarnain Azhar.

  "Pada awalnya saya teringin menghasilkan filem berdasarkan kisah Jefri Zain, satu lagi watak perisik filem Melayu, namun disebabkan masalah hak cipta, ia terpaksa dilupakan.

  "Dengan kemunculan filem J Revolusi ini, dengan watak utamanya bernama Jay Zulkarnain, menjadi harapan saya untuk membuatkan watak terbabit sama seperti karakter ikonik yang ada dalam filem aksi dan perisikan Hollywood sedia ada," ujar Zulkarnain ketika ditemui pada majlis Tayangan Perdana J Revolusi di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, baru-baru ini.

  Bukan saja mahu melihat nama watak utama filem itu mampu menjadi sehebat seperti Bond, Zulkarnain turut menaruh harapan si pembawa karakter Jay Zulkarnain, Zul Ariffin, turut menyerlah sebagai hero filem aksi yang hebat.

  "Ketika dalam peringkat merangka cerita lagi saya sudah membayangkan, Zul ialah pelakon paling layak untuk membawakan watak Jay Zulkarnain. Sebelum ini, orang hanya melihat dia membawakan watak romantis. Dalam filem ini, saya mahu membawa perhatian penonton kepada sisi berbeza aktor ini.

  "Apabila kami berjumpa dan melihatnya secara berdepan, saya dapati dia memang orang yang paling tepat untuk karakter itu. Matanya dapat memancarkan sesuatu seperti karakter Jay sendiri," pujinya.

  Walau sehebat manapun watak Jay, Zulkarnain berkata, dia perlu realistik kerana karakter itu ialah manusia biasa dan tetap ada kelemahannya.


SEBAHAGIAN penonton pada tayangan perdana J Revolusi. - Foto Mahzir Mat Isa

  "Dalam filem ini, Jay tetap berdarah, ada luka di sana-sini, termasuk perasaannya. Dia juga manusia, ada hati dan emosi. Zul walaupun nampak lasak tetapi ada ketika, dia tewas juga dengan perasaannya. Itulah yang kita mahu tonjolkan," terang Zulkarnain.

  Melihat penamat filem ini yang seakan-akan menggambarkan ada kisah sambungannya, Zulkarnain tidak menafikan perkara berkenaan.

  "Memang saya sengaja membuat penamat filem ini sebegitu rupa kerana kami mempunyai perancangan untuk membuat sambungannya dalam pelbagai bentuk. Mungkin drama bersiri, komik ataupun komik bergerak secara online. Apapun, keputusan untuk membuat sambungan ini berdasarkan sambutan diberikan penonton. Jika sambutannya menggalakkan, ada kemungkinan ia akan dilaksanakan," terang Zulkarnain.

  Mengulas kenyataan si sutradara yang mengatakan watak Jay dibuat khas untuknya, aktor berbadan sasa ini berkata, ia ibarat bukan jatuh ke riba buatnya.

  "Sebagai pelakon, saya memang menyimpan hasrat untuk berlakon filem aksi. Ingatkan impian itu hanya tinggal impian kerana industri kita lebih suka pada filem bercorak percintaan. Tak sangka pula tahun lalu saya mendapat tawaran membawakan watak diidamkan itu. Sudah pasti saya teruja dan tak kisah kalau cedera pun kerana saya memang sudah bersedia.

  "Lebih menyeronokkan apabila kebanyakan mereka yang membintangi filem itu ialah mereka yang sudah biasa dengan karya layar perak, manakala saya pula daripada TV. Selepas melihat hasilnya, saya sangat berpuas hati. Bagi saya, kejayaan filem ini bukannya terletak pada saya seorang, malah mereka yang berada di sekeliling filem ini," ujar pelakon berusia 30 tahun ini.


ANTARA barisan pelakon J Revolusi, (dari kiri) Farid Kamil, Nur Fazura Sharifuddin, Zul Ariffin, Izara Aishah dan Peter Davis.

  Menyaksikan lakonan Zul yang mula dikenali menerusi drama Rindu Awak 200% ini, diakui dia memang tangkas dan lasak sekali gus membuktikan dirinya sememangnya pilihan tepat.

  "Hampir 90 peratus babak lagak ngeri dalam filem ini saya lakukan sendiri. Cuma, bagi babak yang membabitkan kabel dan menunggang motosikal dengan laju, ia digantikan pelakon lagak ngeri. Saya juga tidak terkecuali daripada mengalami kecederaan ketika berlakon dalam J Revolusi. Contohnya ketika babak tergantung di atas platform bersama Farid Kamil. Malah, saya ada juga berpesan pada produksi, kalau terjatuh, hantar saya cepat-cepat pergi hospital," katanya sambil ketawa.

  Dalam filem itu juga, ada babak menyaksikan Zul membawa motosikal berkuasa tinggi. Selepas dirisik, ada cerita menarik mengenai babak itu.

  "Motosikal itu adalah milik saya. Alang-alang membawakan watak sebegitu, saya mencadangkan supaya mereka menggunakan motosikal berkenaan untuk babak terbabit. Begitupun saya pastikan ia tidak terbabit dalam sebarang kemalangan. Bagaimanapun, ketika saya bercuti, kenderaan itu digunakan oleh pelakon lain untuk babak yang berbeza dan berlaku kemalangan.

  "Selepas diperbaiki, saya berniat untuk menjadikannya sebagai hadiah untuk kuiz filem itu yang akan diadakan nanti. Saya akan letak logo J Revolusi sebagai tanda kenangan. Kiranya, ia hadiah daripada saya untuk peserta kuiz berkenaan," cerita Zul lagi.

  Selain dirinya, filem ini turut menampilkan pelakon hebat lain seperti Nur Fazura Sharifuddin, Izara Aishah, Azad Jazmin, Iedil Putra, Datuk Hans Isaac dan atlit Seni Bela Diri Campuran (MMA) daripada One Championship iaitu Peter Davis, Saiful Merican, Jenathan dan Davron.

SINOPSIS:

J Revolusi mengisahkan anggota UTK bernama Jay Zulkarnain yang sangat terlatih dan digeruni pengganas. Apabila kakaknya, Dian (Nur Fazura), ditangkap oleh penjenayah misteri, Jay perlu bertindak melawan masa untuk menyelamatkan wanita itu.

Ends

Berita Harian X