Selasa, 28 Februari 2017 | 12:03am

Bahaya jangkitan saluran pernafasan

KUALA LUMPUR: Mereka yang menyedut udara tercemar berisiko menghidap pelbagai penyakit disebabkan jangkitan pada saluran pernafasan hingga ada yang boleh membawa maut.

Saluran pernafasan terbahagi kepada dua bahagian, iaitu bahagian atas yang meliputi hidung, telinga dan kerongkong, manakala bahagian bawah adalah trakea, bronkus, alveoli dan paru-paru.

Jangkitan saluran pernafasan adalah disebabkan virus atau bakteria yang menyerang manusia dewasa serta kanak-kanak.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pernah melaporkan, sejumlah empat juta kematian dicatatkan setahun akibat penyakit pernafasan akut yang kian meningkat, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan warga tua.

Penyakit Pernafasan Kronik (CRD) pula membabitkan paru-paru termasuk asma dan alahan pernafasan, penyakit pulmonari kronik (COPD), penyakit paru-paru, sindrom apnea dan hipertensi pulmonari.

Perokok aktif atau pasif, mereka yang terdedah kepada pencemaran udara di dalam luar rumah atau pernah menghidap jangkitan pernafasan sewaktu kecil selain terdedah di kawasan berhabuk, berdebu serta pencemaran kimia, berisiko dihadapi CRD.

Ia juga boleh menyebabkan kematian dan hilang upaya, tapi boleh diatasi dengan rawatan berkesan.

INFO: Sistem pernafasan manusia

  • Saluran pernafasan: tempat udara dilembabkan dan deria bau berfungsi

  • Hidung: sebahagian organ dalam sistem pernafasan sebagai saluran untuk keluar masuk gas oksigen, karbon dioksida.

  • Farinks: laluan udara dan makanan berbentuk saluran corong, bermula dari dalam hidung dan memanjang ke arah leher. Panjang kira-kira 13 sentimeter.

  • Larinks: kotak suara, terletak di bawah farinks

  • Trakea: saluran udara bersambung dengan bronchi

  • Tiub bronkus: tisu epitilium mengandungi unjuran rambut halus di atas permukaannya, menghalang zarah kecil seperti habuk, debu memasuki paru-paru.

  • Bronkiol: cabang bronkus, sebar udara ke alveoli

  • Alveolus: kantung udara menempatkan kawasan pertukaran gas oksigen dan karbon dioksida, dikelilingi kapilari darah yang bebaskan karbon dioksida ke dalam alveolus dan dihembus keluar.

  • Alveolus dan bronkiol membentuk paru-paru. Udara bergerak keluar masuk dari paru-paru oleh pergerakan sangkar kerangka dan diafragma, mengembangkan paru-paru untuk menarik udara masuk, mengempiskan paru-paru untuk menolak udara keluar.

Fungsi sistem pernafasan:

  • Oksigen dalam udara diangkut dari paru-paru, hantar ke dalam darah.

  • Karbon dioksida diangkut dari darah ke paru-paru dari arah bertentangan.

  • Paru-paru kanan lebih besar dari paru-paru kiri

  • Bulu dalam rongga hidung tapis, panaskan udara disedut.

Punca, simptom penyakit berkaitan sistem pernafasan:

  • Karbon monoksida dari asap kenderaan, sulfur dioksida dari asap kilang

  • Asap rokok, toksin, jerebu

  • Tanda jangkitan seperti demam, hidung berair dan tersumbat, bersin, batuk, berkahak, sakit tekak, sakit telinga, sakit otot

  • Gejala jangkitan kronik seperti pernafasan cepat dan berbunyi nyaring, rusuk dada tenggelam, sesak nafas, kurang tidur bagi bayi dan kanak-kanak

  • Gejala lain ialah hilang deria bau dan rasa, tekanan ke atas telinga, pedih mata, demam, sakit dada, berat badan menurun, batuk berdarah.

  • Jangkitan saluran pernafasan merebak melalui sentuhan, batuk, bersin.

Antara penyakit berkaitan sistem pernafasan:

  • Asma atau lelah, immunologi disebabkan sukar bernafas

  • Penyakit paru-paru kronik (COPD)

  • Bronkitis, bronkitis akut

  • Emfisema

  • Kanser paru-paru

  • Pneumonia atau radang paru-paru

  • Batuk kering

  • Influenza atau selesema

  • Faringitis atau radang tekak.

Langkah cegah jangkitan saluran pernafasan:

  • Jaga kebersihan dan kesihatan diri, alam sekitar, berhenti merokok

  • Cuci tangan, pakai sarung tangan, guna topeng penapis pernafasan

  • Kurangkan hubungan untuk elak penyebaran terutama kepada kanak-kanak

  • Tidak pinjamkan tuala digunakan kepada orang lain

  • Beri imunisasi kepada anak, amal pemakanan sihat

  • Elak suasana sesak dan pencemaran dalam rumah, tempat awam.

Fakta nombor: Sistem pernafasan manusia

  • 12 hingga 15 kali seminit hembusan nafas manusia normal

  • 40 kali seminit hembusan nafas bayi ketika berjaga, 20 kali seminit ketika tidur

  • 1,600km panjang jaringan kapilari dalam paru-paru jika disambungkan

  • 0.5 liter air dalam badan manusia hilang setiap hari kerana bernafas.
Berita Harian X