Selasa, 28 Februari 2017 | 12:07am

Catriona bangkit selepas anak disahkan autisme

Penghargaan

* Solekan: Instagram: @ramzamode

* Tudung: @oshascarf

* Busana: @hashtagsrihartamas

* Cermin mata: @osha.my

* Aksesori: @perawanbysyedewa

KUALA LUMPUR: Tiga tahun bintang berdarah Melayu-Scottish ini merajuk selepas tidak lagi menerima tawaran berlakon dek tubuh yang berisi.

Dengan badan bersaiz XL, Catriona Ross, 36, mengaku pernah 'hilang arah' lalu menjadikan snek ringan, minuman bergas dan premis pandu lalu makanan segera sebagai 'pelepas' segala tekanan.

Catriona yang mesra disapa Cat memberitahu, pernah pada suatu ketika, dia bagaikan penat dengan diri sendiri.

"Ketika itu, saya sudah mencapai saiz XL hingga pernafasan jadi tak betul... Naik tangga pun saya mengah.


BINTANG berdarah Melayu-Scottish, Catriona Ross. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Terlintas dalam hati, apakah kehidupan saya akan berakhir begitu saja hingga pada suatu tahap, ia boleh mengundang serangan jantung.

"Saya takut melihat tabiat pemakanan saya untuk tempoh beberapa tahun lalu. Semuanya bermula selepas meninggalkan dunia lakonan dan memberi tumpuan kepada keluarga," katanya kepada BH Plus.

Catriona yang mendirikan rumah tangga dengan Shaharuddin Mokhtaruddin pada tahun 2009 dan dikurniakan tiga anak, kecewa apabila ketika itu, dia tidak lagi menerima tawaran berlakon.

"Tidak ada pengarah atau penerbit menghubungi saya. Jika ada sekalipun, mereka mahu saya melakonkan watak ibu sengsara sedangkan saya mampu beri yang lebih baik.


NEKAD untuk berubah, Catriona mula melakukan diet sihat dan bersenam termasuk berenang dan mendaki gunung. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Ketika itu, saya mula terfikir, sampai bila jadi begini. Saya perlu berubah dan kena ada suntikan semangat," katanya dalam pertemuan di Balai Berita, baru-baru ini.

Klimaks kepada kesedaran untuk berubah akui Catriona, adalah apabila anaknya, Jammal Raess, 5, disahkan doktor mengalami masalah autisme.

"Keadaan Jammal saya ibaratkan suatu 'wake up call' untuk saya jadi lebih kuat. Saya kena sihat... Saya kena hidup lama dengan izinNya untuk pastikan Jammal boleh berdikari.

"Saya perlu sentiasa ada di belakang Jammal biarpun dia diberi bimbingan di pusat latihan untuk anak autisme," katanya.

Diet hingga menggigil


KEJAYAAN Catriona yang susut 17 kilogram dalam tempoh lima bulan hasil amalan dietnya itu, tiba-tiba menjadikan pelakon yang terkenal dalam drama. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Nekad untuk berubah, mulai Jun tahun lalu, Catriona atau nama sebenarnya, Catriona Norhayati Ross Bahrin Ross, 'bangkit' melakukan anjakan paradigma dalam hidup.

Catriona mula melakukan diet sihat dan bersenam termasuk berenang dan mendaki gunung.

"Sejak itu, saya buang makan berminyak atau mengandungi mentega dan gula. Gaya pemakanan saya lebih kepada 'vegan' atau mereka yang memakan sayur-sayuran saja.

"Namun, saya ambil sumber protein daripada ikan dan ayam yang dimasak secara kukus atau panggang. Saya juga mengambil garam daripada jenis berbeza dan sihat untuk tubuh," katanya.

Berkongsi pengalamannya, Catriona mengaku 'perit' pada minggu pertama mengamalkan diet.

"Saya menggigil kerana tidak biasa dengan keadaan itu. Benar, diet secara sihat ini lebih tinggi kosnya berbanding kaedah lain.

"Selera makanpun berubah kerana kadang kala saya teringin ikan lebih baik seperti ikan salmon. Namun, saya tidak melihat soal kos itu sebagai suatu yang memberi tekanan besar.

"Saya mula terfikir, jika dulu sanggup berhabis berpuluh ringgit untuk membeli makanan ringan, mengapa tidak belanjakannya untuk diet sihat," katanya.

Pengikut bertambah


CATRIONA mengaku 'perit' pada minggu pertama mengamalkan diet. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Kejayaan Catriona yang susut 17 kilogram dalam tempoh lima bulan hasil amalan dietnya itu, tiba-tiba menjadikan pelakon yang terkenal dalam drama

Sephia dan Mek Salmah Dari Scotland itu, kembali diperkatakan peminat.

Pengakuan Catriona dalam beberapa portal hiburan mengenai perubahan dialami, pantas mengundang perhatian ramai sedangkan sebelum ini dirinya bagai tidak dipedulikan.

Ditanya bagaimana dia berdepan situasi itu, Catriona mengaku dia gementar dengan tumpuan diberi.

"Ketika berjalan di khalayak, orang pandang semacam. Tak kurang juga bertanya bagaimana saya boleh kurus.

"Bayangkan, tiga tahun saya 'menghilang', saya sudah biasa dengan kehidupan di mana orang tidak kisah dengan apa yang saya buat. Sekarang, orang mula perhati dan datang kepada saya.

"Saya bersyukur apatah lagi berita saya sudah kembali kurus dikongsi ramai. Saya tak sangka kisah saya memberi semangat dan nafas baharu dalam hidup. Rasanya lain, bukan seperti kita ada produk baru... Ini memang rahmat terindah," katanya.

Catriona mengaku selepas kisahnya menjadi viral, jumlah pengikut di laman sosialnya juga bertambah.

Info

* Berkahwin dengan penerbit dan pengarah, Shaharuddin Mokhtaruddin pada Jun 2009.

* Dikurniakan tiga anak iaitu Sephia Rania, 7; Jammal Raess, 5 dan Edruce Riyadh yang kini memasuki usia tiga tahun.

* Terkenal dengan drama Sephia yang disiarkan TV3.

* Bakal muncul dengan drama Cucu Tauke Beras, April depan di samping pelakon Azrel Ismail dan Zahirah Mcwilson di TV3.

Berita Harian X