Selasa, 28 Februari 2017 | 12:10am

'Doktor Kelulut' popularkan Sarawak

SIBU: Seorang guru tidak menyangka penternakan lebah kelulut yang diusahakan untuk keperluan sendiri bagi merawat penyakit kencing manis dihidapinya, kini menjadi perniagaan yang memberi pulangan lumayan sehingga digelar 'Doktor Kelulut'.

Malah, Gusti Shahdan, 47, dari Taman Batu Lapan di sini, kini muncul antara pemain industri madu kelulut di Sarawak, terutama di wilayah tengah negeri ini.

Beliau turut mempaten secara eksklusif jenama 'Doktor Kelulut' bagi produk keluarannya yang mula menembusi pasaran Semenanjung, malah sedang merintis untuk meneroka pasaran eksport.

Selepas setahun mengusahakan penternakan lebah kelulut, Gusti kini tidak 'menang tangan' untuk memenuhi permintaan pelanggan, malah ada yang membuat tempahan berulang kerana 'terpesona' dengan madu berkualiti tinggi itu.

MADU 'Doktor Kelulut'. - Foto Khalid Latip

Menceritakan detik awal pembabitannya, Gusti yang berasal dari Kampung Betanak, Pulau Bruit di Mukah,

mengakui sebelum ini kurang tertarik untuk mengusahakannya kerana produk itu jarang dijual di pasaran biasa, selain harga agak mahal.

Bagaimanapun, beliau mula berminat menternak lebah kelulut selepas merasai sendiri khasiat madu kelulut yang diperoleh daripada rakan.

"Saya menghidap penyakit kencing manis namun selepas mengamalkan pengambilan madu kelulut, penyakit itu beransur pulih dan badan saya juga terasa kembali segar dan bertenaga," katanya.

GUSTI mula berminat menternak lebah kelulut selepas merasai sendiri khasiat madu kelulut yang diperoleh daripada rakan. - Foto Khalid Latip

Beliau berkata, di peringkat awal, penternakan lebah kelulut itu hanya untuk memenuhi masa lapang dan untuk kegunaan sendiri dan keluarga.

"Saya semakin seronok apabila lebah kelulut mula mengeluarkan madu. Sebelum ini, saya terpaksa melanggan daripada orang lain namun selepas hasilnya dapat dituai, saya boleh menikmatinya sendiri," katanya.

"Saya tidak berniat pun untuk mengkomersialkannya tetapi atas permintaan rakan, akhirnya saya jual. Walaupun hasil tidak banyak tetapi bolehlah untuk menampung keperluan harian," katanya yang kini

mempunyai 40 log (kotak mengandungi sarang lebah) yang diletakkan di pekarangan rumah.

LOG yang mengandungi sarang lebah di dalamnya. - Foto Khalid Latip

Gusti berkata, lebah kelulut berbeza dengan lebah biasa kerana mudah dikendalikan, malah menyifatkan lebah itu agak 'manja' dan tidak menyengat.

"Madu dihasilkan juga berkualiti tinggi dan lebih banyak khasiatnya berbanding madu biasa. Itu yang menyebabkannya menjadi kegilaan ramai," katanya.

Beliau memperoleh sarang lebah kelulut daripada pencari sarang serangga itu sebelum dipotong sendiri mengikut panjang yang sesuai. 

Bagi memudahkannya mengeluarkan madu, beliau menyediakan 'topping' atau kotak lebah di bahagian atas kayu itu. Walaupun kerja membuatnya nampak mudah, setiap kotak perlu dipotong mengikut saiz yang betul.

SIBU 27 FEBRUARY 2017 (KCH472N). Kebanyakan kayu diperolehi daripada pencari sarang serangga itu sebelum dipotong mengikut saiz yang sesuai. . STR/KHALID LATIP[FOTO KHALID LATIP /BH]

Setiap koloni lebah kelulut menghasilkan madu dalam tempoh sebulan hingga enam bulan bergantung kepada jenis dan sumber pemakanan. Sumber makanan yang baik membantu menyumbang kepada penghasilan madu berkualiti.

Proses pengambilan madu kelulut mudah dilakukan kerana serangga itu tidak menyengat berbanding lebah biasa.

Bagi memudahkan proses pengambilan madu, Gusti melakukan beberapa inovasi termasuk menggunakan vakum dengan saluran penyedut bagi mengelak kantung madu pecah.

"Ketika ini, saya menjalankannya sendiri tanpa bantuan mana-mana pihak. Bagaimanapun, saya akan berusaha mendapatkan khidmat nasihat agensi berkaitan.

"Saya yakin perusahaan ini mempunyai masa depan yang cerah. Lagipun, ia belum dipelopori sepenuhnya, terutama Bumiputera," katanya.

PROSES pengambilan madu kelulut mudah dilakukan kerana serangga itu tidak menyengat berbanding lebah biasa. - Foto Khalid Latip
GUSTI (tengah) bersama rakan-rakan. - Foto Khalid Latip
Berita Harian X