Selasa, 28 Februari 2017 | 8:56pm

MAHB catat untung sebelum cukai lebih tinggi

KUALA LUMPUR: Keuntungan sebelum cukai Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016 meningkat kepada RM183.33 juta berbanding RM45.94 juta pada tempoh sama pada 2015.

Perolehan naik kepada RM4.17 bilion berbanding RM3.87 bilion sebelum ini, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

MAHB berkata, perolehan daripada operasi lapangan terbang naik 9.3 peratus kepada RM2.94 bilion berbanding RM2.71 bilion pada 2015, susulan peningkatan perolehan aeronautikal.

Pengendali lapangan terbang itu berkata, faktor penyumbang utama kepada peningkatan itu ialah pertumbuhan penumpang yang tinggi, lebih banyak pergerakan penumpang dari satu destinasi ke satu destinasi, penyatuan operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu serta penempatan semula Malindo Air ke Terminal Utama KLIA.

Sementara itu, perolehan segmen bukan lapangan terbang mencatatkan peningkatan sebanyak sembilan peratus kepada RM135.3 juta berbanding RM124.2 juta pada 2015, sebahagian besarnya disumbangkan oleh perolehan daripada segmen hotel dan pertanian.

Mengenai operasi lapangan terbang di luar negara, perolehan segmen itu naik 4.6 peratus kepada RM948.9 juta.

Lapangan terbang di Malaysia mencatatkan 89 juta trafik penumpang pada 2016, pertumbuhan sebanyak 6.1 peratus berbanding 2015 walaupun persekitaran mencabar.

MAHB berkata, trafik penumpang di Malaysia pada tahun ini dijangka meningkat sebanyak 6.5 peratus.

"Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa mengunjurkan pertumbuhan trafik penumpang berjadual global bagi 2017 dalam julat 5.1 peratus dan bagi Asia Pasifik pula tujuh peratus.

"Kapasiti tempat duduk syarikat penerbangan Malaysia dalam masa terdekat menyediakan unjuran positif bagi 2017," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X