Rabu, 1 March 2017 | 2:14pm
DEMONSTRASI  kaedah kitar semula sisa makanan untuk dijadikan baja kompos tanaman kepada murid Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih dan ahli  Persatuan Pandu Puteri Malaysia oleh  PPPM Cawangan Institut Pendidikan Guru (IPG) antara pengisian Hari Peringatan Pandu Puteri Sedunia di IPG Kampus Bahasa Melayu,  Kuala Lumpur, Sabtu ini. - Foto PPPM

Sisa makanan tingkat kualiti persekitaran

PENANAMAN pokok bakau oleh ahli Persatuan Pandu Puteri Malaysia antara pengisian Hari Peringatan Pandu Puteri Sedunia di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur, Sabtu ini. - Foto PPPM

KUALA LUMPUR: Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) Cawangan Institut Pendidikan Guru (IPG) akan mengadakan demonstrasi kaedah kitar semula sisa makanan untuk dijadikan baja kompos sempena Hari Peringatan Pandu Puteri Sedunia di IPG Kampus Bahasa Melayu di sini, Sabtu ini.

Amalan kitar semula bahan buangan dapat membantu meningkatkan kualiti kehidupan manusia dan pemuliharaan serta pemeliharaan alam sekitar agar lebih lestari dan mapan.

Urus setia penganjur dalam satu kenyataan berkata, sisa makanan adalah sumber tenaga bagi mikroorganisma tanah untuk menjalankan aktiviti melalui proses dekomposisi.

Dua kaedah digunakan termasuk teknologi mikrob melalui proses degradasi dan pemecahan sisa makanan bagi membantu mengawal pembiakan patogen yang menyebabkan bau busuk daripada sisa makanan.

Jus sampah yang terhasil mampu dijadikan antibodi dan antiparasit kepada tanaman, di samping berkesan untuk menyuburkan tanah.

Satu lagi kaedah adalah pori kompos iaitu menanam sisa makanan ke dalam lubang (pori) di sekeliling tanaman yang bertindak sebagai kilang bagi menghasilkan kompos.

Berita Harian X