Rabu, 1 March 2017 | 3:58pm

Matrix Concepts, CCH rancang hospital di Bandar Sri Sendayan

DR Kuo Shou Jen (kiri) dan Datuk Lee Tian Hock (kanan), menandatangani memorandum persefahaman membina hospital swasta. - Foto NSTP

SEREMBAN: Pemaju hartanah, Kumpulan Matrix Concepts Holdings Bhd (Matrix Concepts) dan pengendali hospital swasta Taiwan, Changhua Christian Hospital (CCH), merancang membuka hospital pakar di Bandar Sri Sendayan di sini.

Pengarah Urusan Kumpulan Matrix Concepts, Datuk Lee Tian Hock, berkata hospital itu akan dibina di kawasan komersial perbandaran yang keluasan keseluruhan 2,118 hektar serta mempunyai lebih 120,000 penduduk apabila siap sepenuhnya dalam tempoh tujuh tahun lagi.

Katanya, pembinaan hospital itu adalah bagi memenuhi memenuhi permintaan terhadap perkhidmatan perubatan berkualiti tinggi di negara ini dan negara Asia Tenggara lain.

"CCH adalah nama besar dalam perkhidmatan perubatan di Taiwan, selain mempunyai banyak cawangan di China dan beberapa negara lain.

"Sebelum memilih untuk bekerjasama dengan CCH, kami menyenaraikan beberapa pengendali hospital swasta tempatan, Taiwan, China dan India," katanya selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman kerjasama itu di sini, hari ini.

Matrix Concepts diwakili oleh Tian Hock, manakala CCH oleh Superintendan CCH, Dr Kuo Shou Jen. Yang turut hadir Pengerusi Matrix Concepts, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin.

Tian Hock berkata, selepas melawat hospital swasta kendalian CCH di Taiwan dan beberapa siri perbincangan, pihaknya memilih CCH yang menunjukkan kesungguhan untuk bekerjasama dengan Matrix Concepts

Beliau berkata, perbincangan teliti mengenai usaha sama antara kedua-dua pihak itu seperti kos projek dan bilangan katil akan dilakukan dalam tempoh antara empat sehingga enam bulan akan datang sebelum projek itu boleh dimulakan.

Bagaimanapun, katanya, Matrix Concepts dan CCH adalah gabungan yang tepat untuk menjadikan penubuhan hospital di Bandar Sri Sendayan seluas 2,118 hektar sebagai kenyataan.

Berita Harian X