Rabu, 1 March 2017 | 4:40pm

JAIM tahan 6 termasuk janda muda disyaki khalwat


TIGA pasangan disyaki berkhalwat dan menghidu gam ditahan dalam operasi Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di sebuah kedai terbiar di Jalan Plaza Mahkota 10, Plaza Mahkota, Banda Hilir, Melaka. Foto Muhammad Hatim Ab Manan

MELAKA: Enam individu termasuk seorang janda muda berusia 27 tahun dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) kerana disyaki berkhalwat di sebuah premis kedai berhampiran Muara Sungai Melaka di sini, pagi tadi.

Mereka yang berusia antara 17 hingga 27 tahun yang turut disyaki terbabit dalam kegiatan menghidu gam ditahan kira-kira jam 9.30 pagi selepas pihak berkuasa agama negeri ini menerima aduan orang awam.

Ketua Penguat Kuasa JAIM, Rahimin Bani, berkata siasatan awal mendapati enam individu terbabit, masing-masing tiga lelaki dan wanita berasal dari negeri ini menjadikan premis kosong itu sebagai 'port' menghidu gam sejak dua bulan lalu.

Beliau berkata, semua yang ditahan memasuki premis yang dijadikan lokasi perjumpaan mereka untuk menghidu gam menerusi tingkap belakang yang dirosakkan.

"Semua disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah 1991 atas kesalahan bersekedudukan.

"Seorang remaja lelaki berusia 21 tahun pula diserahkan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) kerana di bawah pengaruh dadah dipercayai jenis syabu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Berita Harian X