Khamis, 2 March 2017 | 12:03am

Usah pandang serong - Ayda Jebat

KUALA LUMPUR: Barangkali sudah menjadi tanggapan umum, artis sensasi, Ayda Jebat, 24, sering dituduh menjalin hubungan intim dengan gandingannya baik dalam projek drama mahupun telefilem.

Ibaratnya, biar siapapun artis lelaki yang dipasangkan dengan penyanyi lagu Pencuri Hati ini dalam projek drama mahupun telefilem, pasti kedengaran cerita kononnya mereka menjalin hubungan intim di luar lokasi.

Akui Ayda, situasi itu menyebabkan dirinya serba salah. Sedar watak yang diamanahkan perlu dihayati sebaik mungkin, Ayda tidak dapat menolak berusaha mewujudkan keserasian antara dirinya dan aktor gandingan.

Namun, salah percaturan, Ayda dikecam netizen dan timbul pula kata-kata nakal wujudnya 'cinta lokasi' hanya melihatkan dirinya akrab dengan teman gandingan.

Selepas digandingkan dengan beberapa hero kacak seperti Farid Kamil, Shaheizy Sam, Zul Ariffin, Aiman Hakim Redza, Saharul Ridzwan dan Sharnaaz Ahmad, terbaharu, Ayda 'dipasangkan' pula dengan aktor meningkat naik, Redza Rosli.

Kisahnya, Ayda dan Redza menerajui drama Ku Kirim Cinta yang akan disiarkan dalam slot Akasia di TV3, Ramadan depan.

Memulakan bicara, Ayda sekali lagi mengulas persoalan sama membabitkan 'cinta lokasi' dengan teman gandingannya itu.

"Saya hanya mahu menjanjikan yang terbaik untuk gandingan kali ini. Nak lebih-lebih sangat pun tak boleh. Nanti bimbang ada pula yang anggap ia drama atau sengaja mencari publisiti murahan.

"Tidak kurang pula mulut yang bercakap dengan semua hero nak bercinta. Tapi setahu saya, Redza masih single. Jadi, okaylah.

"Bukan apa, nanti tak pasal-pasal bergaduh dengan kekasih kalau sudah berpunya dan dituduh ada skandal baharu. Namun, saya percaya nawaitu diri nak berlakon dan menghidupkan watak. Jadi, jika gandingan kami nanti berjaya, ini suatu bonus," katanya kepada BH Plus.

Cipta keserasian

AYDA antara teraju drama Ku Kirim Cinta yang akan disiarkan dalam slot Akasia di TV3, Ramadan depan. - Foto Nik Hariff Hassan

Ayda berkata, sudah menjadi tugas setiap pelakon untuk mencipta keserasian dengan teman gandingan.

"Pelakon perlu menyerlahkan tarikan kimia atau chemistry setiap kali bersama gandingan. Itu yang akan membuatkan penonton tertunggu-tunggu," katanya.

Mengenai Redza, Ayda berkata, jejaka itu bukanlah baru dikenalinya. Sejak lima tahun lalu, Ayda dan Redza pernah berlakon bersama dalam projek drama dan telefilem.

Namun, kata Ayda, dalam drama Ku Kirim Cinta arahan Raja Ahmad Alaudin, mereka pertama kali digandingkan sebagai tunggak utama. Selain itu, mereka juga pernah 'terbang' ke Gold Coast, Australia, untuk menjalani penggambaran, baru-baru ini.

"Dulu saya selalu buli dia. Bukanlah buli teruk semacam, tetapi saya suka menyakatnya. Redza jenis jejaka yang reda dan menerima apa saja.

"Kami pernah berlakon dalam sebuah drama kemudian selepas lama tak jumpa, saya dan dia digandingkan dalam sebuah telefilem berjudul Kubur Berdarah. Seterusnya, kami berlakon dalam rantaian MAID.

"Dalam drama itu, Redza jadi lelaki jahat yang mahukan saya," katanya.

Tarikh lahir hampir sama

AYDA Jebat. - Foto Nik Hariff Hassan

Bercerita mengenai usahanya mencipta keserasian dengan Redza dalam drama Ku Kirim Cinta, Ayda berkata, rasa selesa mula disedari sebaik memulakan penggambaran di Gold Coast.

"Ketika melakukan penggambaran di Kuala Lumpur, rasa itu tidak ada lagi. Kebetulan di Gold Coast kami banyak meluangkan masa bersama. Dari situ, keserasian mula datang perlahan-lahan.

"Saya juga nampak Redza berusaha menghidupkan watak ketika berada di Gold Coast. Memandangkan pertama kali dia ditawarkan watak utama, Redza tampak bersemangat memberi yang terbaik," katanya.

Ayda berkata, peminat juga suka gandingan mereka setiap kali berkongsi gambar di laman Instagram.

"Jadi saya berharap, chemistry itu bertahan lama," katanya yang mencipta populariti dalam drama rantaian Rindu Awak 200%.

Ayda berkata, Redza juga mempunyai daya ingatan yang kuat.

"Rupa-rupanya, Redza sebelum ini pernah 'lepak' dengan bapa saya. Dia juga kenal saudara-mara saya di Melaka. Apabila dia sebut cerita lama, saya mula mengimbas kenangan. Kami berkongsi tarikh hari lahir yang hampir. Saya menyambut ulang tahun kelahiran pada 17 Mac 1992 dan dia pula sehari selepas itu," katanya.

INFO

  • Ayda dan Redza pernah berlakon dalam Kubur Berdarah.

  • Ayda mencipta populariti dalam drama rantaian Rindu Awak 200%.

REDZA Rosli. - Foto Mahzir Mat Isa
Berita Harian X