Khamis, 2 March 2017 | 10:46am

Banjir di Sarawak pulih kecuali Bintulu


Banjir kilat mengelami beberapa kawasan rendah di Kampung Gita akibat hujan tidak berhenti selama dua jam. - Foto Che Rani Che Din.

MIRI: Situasi banjir di tiga bahagian di Sarawak pagi ini semakin pulih, kecuali bahagian Bintulu di mana paras air di sungai utama semakin naik berikutan hujan.

Sekretariat Jawatan kuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dari Angkatan Pertahanan Awam (APM), Mejar Ismail Mahedin berkata, banjir kilat berlaku di beberapa kawasan pusat bandar Bintulu, pagi tadi.

Beliau berkata, pemantauan yang dilakukan pihaknya di sekitar kawasan Sungai Plan, Sungai Sebatang, Sekolah Kebangsaan (SK) Siong Boon, Taman Jason, Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Sebiew mendapati paras air naik mendadak.

"Pemantauan banjir mendapati tiada jalan terputus hubungan dan keadaan terkawal. Tiada pemindahan dilaporkan di Bintulu sehingga jam 8.05 pagi tadi," katanya, sebentar tadi.

Di bahagian Sarikei, Samarahan dan Kuching, paras air semakin surut, namun penduduk di kawasan banjir masih di nasihatkan mengambil langkah berwaspada.

Beliau berkata, lori turut digunakan untuk menghantar bekalan makanan ke kawasan penduduk yang terjejas banjir di kawasan Simunjan, dekat Samarahan.

Berita Harian X