Khamis, 2 March 2017 | 1:20pm

Pegawai TLDM dipenjara 16 bulan

IPOH: Pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Kapten Abdul Aziz Gaffor, 56, dijatuhi hukuman penjara 16 bulan dan denda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi terhadap dua tuduhan menerima barang berharga bernilai RM92,216, yang ada kaitan dengan urusan pembekalan barangan kepada pasukan itu pada 2014.

Hakim S Indera Nehru memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan lima bulan jika gagal membayar denda bagi setiap pertuduhan atau 10 bulan bagi kedua-dua pertuduhan.

Bagi penjara, tertuduh bagaimanapun hanya perlu menjalani hukuman penjara lapan bulan apabila mahkamah memerintahkan tempoh penjara bagi kedua-dua tuduhan itu berjalan serentak mulai hari ini.

KAPTEN Abdul Aziz Gaffor dijatuhi hukuman lapan bulan penjara selepas menukar pengakuan kepada bersalah atas dua pertuduhan menerima suapan barangan berharga RM92,216, pada 2014 di Mahkamah Sesyen, Ipoh. - Foto Abdullah Yusof
KAPTEN Abdul Aziz Gaffor dijatuhi hukuman lapan bulan penjara selepas menukar pengakuan kepada bersalah atas dua pertuduhan menerima suapan barangan berharga RM92,216, pada 2014 di Mahkamah Sesyen, Ipoh. - Foto Abdullah Yusof

Abdul Aziz didakwa atas dua kesalahan iaitu menerima suapan barangan berharga iaitu jam tangan jenama Rolex bernilai RM57,071 dan telefon bimbit jenama Vertu bernilai RM37,145 sebagai balasan daripada Hussin [email protected] yang mana syarikat berkenaan mempunyai kepentingan hubungan kerja rasmi dengan tertuduh di antara Mac hingga Disember 2014.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu ketika bertugas sebagai Pegawai Pemerintah Depot Bekalan Armada TLDM di Lumut dan dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Dalam menjatuhkan hukuman mahkamah turut mengambil kira dua lagi pertuduhan lain manakala bagi tiga lagi pertuduhan, mahkamah membebaskan dan melepaskannya daripada tuduhan berkenaan.

Pada 9 September 2015, Abdul Aziz Gaffor, 56, didakwa atas tujuh pertuduhan namun mengaku tidak bersalah pada ketika itu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Norzilati Izhani [email protected] dan Abdul Rashid Sulaiman manakala tertuduh diwakili peguam Zamri Idrus, Collin Andrew dan Fadly Hashim.

Berita Harian X