Sabtu, 27 Disember 2014 | 6:56pm

Bantuan makanan diterbang dengan 9 pesawat ke Kelantan

JERTEH: Sembilan pesawat digerakkan dari Pangkalan Udara Gong Kedak di sini untuk menghantar bekalan makanan kepada mangsa banjir di Kelantan.

Komander Pangkalan Udara Gong Kedak, Brig Jen Zahani Zainal Abidin, berkata sembilan pesawat itu ialah tiga helikopter EC725, dua helikopter Nuri, satu pesawat Super Lynx Navy, satu pesawat Fennec Navy, satu pesawat A109 dan satu pesawat AW139.

"Kesemua sembilan pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Darat Diraja Malaysia (TDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ini digunakan dalam "Ops Murni" untuk menghantar bekalan makanan, ubat-ubatan dan minyak.

"Bagi tempat-tempat yang tidak dapat mendarat, TUDM menggunakan kaedah 'winching' dan 'low hovering' untuk menghantar bekalan makanan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata 25 misi termasuk 16 misi menghantar bekalan makanan, tujuh misi menghantar bahan perubatan dan tiga misi menyelamat mangsa dilakukan sejak Rabu lepas.

Sebanyak 800 liter minyak diesel (sehari) turut dihantar ke Hospital Kuala Krai, Hospital Tanah Merah, Hospital Tumpat dan Hospital Pasir Mas melalui Ops Murni.

Sehingga hari ini, beberapa lokasi termasuk Gua Musang, Kuala Krai, Tanah Merah, Machang dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) telah dihantar bekalan makanan manakala 15 pesakit pula telah dihantar ke HUSM untuk rawatan semalam.

Dalam pada itu, Zahani berkata berkata penerbangan 'sortie' turut dibuat untuk membawa bekalan makanan dan ubat.

Beliau berkata kebanyakan barangan keperluan dan makanan dihantar dari Pangkalan Udara Subang sebelum diagihkan di Gong Kedak dan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu.

Tinjauan udara oleh Bernama dari helikopter EC725 mendapati kebanyakan kawasan di sekitar Kelantan masih dalam keadaan membimbangkan.

Kawasan Kota Baharu dan Manik Urai masih ditenggelami air dengan bantuan bekalan makanan masih dilakukan secara berperingkat.

Pihak TUDM sedang cuba sedaya upaya untuk memberi bantuan terbaik walaupun dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.

Turut bersama meninjau kawasan banjir dan memberi bantuan bekalan makanan ialah Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Roslan Saad. - BERNAMA

Berita Harian X