Khamis, 2 March 2017 | 5:20pm

35.6 peratus pegawai pengurusan adalah wanita - KSN


ALI menyampaikan surat lantikan kepada Timbalan Pengarah Institut Aminuddin Baki, Mistrine Radin pada majlis amanat kepada pegawai wanita Jawatan Utama JUSA C dan Pegawai Khas di Dewan Perbendaharaan Malaysia, Putrajaya, hari ini. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Sasaran kerajaan dalam menetapkan kuota sekurang-kurangnya 30 peratus wanita memegang jawatan di peringkat pembuat dasar dalam sektor awam sudah dicapai.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata berdasarkan statistik semasa, 35.6 peratus atau 1,419 pegawai kumpulan pengurusan tertinggi adalah wanita.

"Ini adalah satu pencapaian yang membanggakan dalam perkhidmatan awam serta membuktikan bahawa penjawat awam wanita di Malaysia memainkan peranan yang penting dalam pentadbiran negara.

"Kerajaan percaya pegawai wanita dalam perkhidmatan awam akan terus mendokong aspirasi kepimpinan negara seterusnya meneruskan sumbangan yang berkesan dalam pembangunan negara," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, Ali mengadakan sesi perjumpaan bersama anggota wanita perkhidmatan awam pada hari ini dan turut menyampaikan surat kenaikan pangkat kepada 23 pegawai wanita.

Beliau berkata, langkah berterusan dilaksanakan kerajaan untuk memperkasakan kepimpinan wanita dalam arus pembangunan negara, khususnya ke arah merealisasikan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Berita Harian X