Khamis, 2 March 2017 | 6:45pm

Penduduk bersyukur bakal terima rumah PPR

Antara penduduk yang bakal menerima kunci rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lupak Meluas, Batu Sapi. - Foto NSTP/Malai Rosmah Tuah

SANDAKAN: Penduduk di sini bersyukur apabila permohonan mendapatkan rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lupak Meluas, Batu Sapi, dekat sini, diluluskan.

Ibu kepada tiga anak, Roselina Abdul Majid, 34, berkata kemudahan disediakan kerajaan itu sekali gus mengurangkan bebanan keluarganya yang terpaksa menumpang di rumah saudara sejak September tahun lalu apabila kediaman didiami sejak 30 tahun lalu terbakar.

Katanya, ia juga lebih menjamin masa depan mereka sekeluarga, berbanding tinggal di kawasan setinggan yang bila-bila masa boleh dirobohkan.

"Memang saya sangat bersyukur kerana terima kemudahan kerana ramai yang memohon, tapi cuma sedikit yang terpilih.

"Cuma apa yang kami harapkan kerajaan akan menimbang untuk menjadikan rumah ini jual beli, berbanding sewa beli agar anak cucu kami boleh mewarisi rumah ini nanti," katanya ketika ditemui BH di sini, sebentar tadi.

Roselina antara 10 penduduk yang bakal menerima kunci rumah terbabit yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Serj Najib Razak pada Majlis Perasmian Projek PPR Lupak Meluas, esok.

PPR Lupak Meluas bernilai RM32 juta dan mempunyai 180 unit kediaman dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk masjid dan dewan.

Sementara itu, warga tua, Razali Pengilan, 62, berkata dia bersyukur kerana akhirnya mempunyai kediaman sendiri yang lebih selesa berbanding tinggal di rumah atas laut.

Katanya, dia lebih gembira kerana kunci rumah terbabit bakal disampaikan sendiri oleh pemimpin nombor satu negara.

"Kebanyakan mereka yang diberi kediaman sini adalah bekas mangsa kebakaran pada 1995 di kampung ini," katanya.

Berita Harian X