Khamis, 2 March 2017 | 9:02pm

Tentera Syria, sekutu kuasai semula Palmyra

BANDAR purba Palmyra di Syria. - Foto AP

BEIRUT: Tentera Syria dan rakan sekutu mereka mara ke Palmyra hari ini berikutan pengunduran pasukan militan Daesh.

Ini adalah cubaan kedua pasukan tentera Syria yang dibantu pasukan tentera udara Russia dan kumpulan militan sokongan Iran untuk menawan Palmyra daripada penguasaan Daesh dalam tempoh setahun.

Pemantau Hak Asasi Manusia Syria berkata, pasukan tentera dilaporkan memasuki Palmyra dari bahagian barat dan membuat kubu di atas bukit sebelum melancarkan operasi membersihkan periuk api di kawasan bandar.

Sebuah stesen televisyen Syria pula melaporkan, pasukan tentera berjaya menguasai bukit al-Tar di barat laut Palmyra.

Militan Daesh sebelum ini memusnahkan sebahagian besar warisan arkeologi Syria yang berharga dan beberapa warisan bersejarah yang lain.

Walaupun berjaya menawan Palmyra sejak Disember lalu, Daesh pada hakikatnya kehilangan kuasa di bahagian utara negara itu selepas ditewaskan pasukan tentera sekutu Amerika Syarikat (AS), militan Kurdis dan pemberontak Syria yang mendapat sokongan Turki.

Pasukan tentera Syria juga terbabit dalam peperangan menentang Daesh di timur Aleppo iaitu di Sungai Euphrates dan bandar Deir al-Zor.

Reuters

Berita Harian X