Jumaat, 3 March 2017 | 12:14am

Neelofa duta 10 produk tahun ini

KUALA LUMPUR: Di sebalik kisah cinta serta aneka gosip yang melingkari kehidupan Neelofa, hakikatnya beliau berada pada tangga teratas pilihan jenama mewah apabila dilantik sebagai 10 duta produk untuk tahun ini saja.

Menganggap kepercayaan setiap syarikat sebagai rezeki, usahawan, pelakon dan hos popular itu mengakui disokong pasukan yang kuat hingga mampu menggalas setiap tanggungjawab dengan sebaik mungkin.

"Boleh dikatakan saya tiada masalah untuk membahagikan masa di antara perniagaan, kerjaya seni dan komitmen serta tanggungjawab terhadap jenama diwakili kerana saya mempunyai pasukan sokongan yang kuat.

"Masing-masing tahu fungsi dan kerja mereka, sekali gus memudahkan perjalanan urusan harian saya. Macam dalam perniagaan, saya ada pasukan yang berlainan tugasan dengan kumpulan untuk kerjaya seni.

"Jadi, tiada isu pertindihan kerja. Sebenarnya, dalam kesibukan menggalas kedua-dua bidang, saya masih mempunyai masa untuk diri sendiri. Bagi saya, paling penting adalah pengurusan masa sekali pun saya dipertanggungjawabkan mewakili 10 jenama untuk tahun ini," katanya.

NEELOFA berada pada tangga teratas pilihan jenama mewah apabila dilantik sebagai 10 duta produk untuk tahun ini saja. - Foto NSTP

Mengulas tawaran daripada jenama terbabit, beliau mengakui teruja apabila bukan hanya diberi peluang sebagai jurucakap produk, malah mendapat kelebihan mereka jam tangan pada masa akan datang.

Katanya, bagi keluaran terkini, yang dilancarkan serentak dengan pengumumannya sebagai duta, dirinya turut terbabit sebagai seorang daripada pereka jam tangan itu.

"Peluang sebegini sebenarnya memberi bonus kepada saya mencuba sesuatu yang berbeza dan dari sudut perniagaan pula, ia mungkin dapat membuka ruang kepada jenama saya, Nealofar Hijab, untuk berkolaborasi dengan Titan," katanya.

Pada masa sama, diminta mengulas mengenai kisah hubungannya dengan aktor popular yang juga heronya dalam Suri Hati Mr Pilot, Fattah Amin, Neelofa menganggap ia usikan biasa.

Akuinya, perkara terbabit tidak dilihat sebagai tekanan sebaliknya enggan ambil serius memandangkan impak drama bersiri itu masih kuat walaupun sudah tiga bulan berlalu.

NEELOFA tiada masalah untuk membahagikan masa di antara perniagaan, kerjaya seni dan komitmen serta tanggungjawab terhadap jenama diwakili kerana mempunyai pasukan sokongan yang kuat. - Foto NSTP

Lebih menarik perhatian ramai apabila kehangatan kisahnya bersama Fattah turut 'diangkat' sebagai modal bahan jenaka peserta MLM 2017, baru-baru ini.

"Saya tidak kecil hati atau terasa dengan lawak seperti itu kerana sudah biasa. Kalau ikutkan teman gandingan saya dalam program Meletop, Nabil pun selalu mengusik saya dengan isu sama.

"Sebagai selebriti, segala perkara datang sebagai pakej, tidak kira hal cinta mahu pun membabitkan peribadi. Saya tidak ambil serius pun usikan itu selagi tidak menjatuhkan maruah.

"Cuma saya sedikit bimbang andai ia berterusan, orang luar pula muak. Contohnya macam peminat saya. Kalau boleh mereka harap tidak mahu saya tersinggung," kata gadis berusia 28 tahun itu.

Sementara itu, mengenai pelantikan artis sebagai wajah jenama, beberapa sumber terdekat mendedahkan, bagi mereka yang mempunyai nama besar dan boleh diletakkan dalam kelas A, masing-masing berpeluang menerima bayaran setinggi RM100,000 hingga RM500,000 setahun bagi sesebuah jenama yang diwakili.

NEELOFA teruja mendapat kelebihan mereka jam tangan pada masa akan datang. - Foto NSTP

INFO

  • Antara produk dan perkhidmatan yang meletakkan wajah Neelofa sebagai ikon ialah penyedia khidmat perbankan, aksesori mewah, barangan penjagaan diri dan minuman.
  • Selain lapan kontrak yang diperbaharui, juri Maharaja Lawak Mega 2017 itu juga baru menandatangani perjanjian dengan dua lagi syarikat termasuk pengeluar jam tangan Titan.

PENGACARA dan pelakon, Neelofa. - Foto Zunnur Al Shafiq
Berita Harian X