Jumaat, 3 March 2017 | 7:59am

970 pendatang cuba masuk ke Eropah diselamatkan


PENGAWAL pantai Itali menyelamatkan kira-kira 970 pendatang di luar pantai Libya semalam.

ROME: Pengawal pantai Itali menyelamatkan kira-kira 970 pendatang di luar pantai Libya semalam, ketika jumlah mereka yang cuba menyeberangi Mediterranean menuju ke Eropah semakin bertambah.

Malah sebelum kejadian semalam, lebih 13,400 pendatang dilaporkan sudah mendarat di pantai Itali sepanjang tahun ini, iaitu peningkatan antara 50 hingga 70 peratus berbanding pada 2015 dan 2016.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 440 pendatang maut atau hilang sepanjang Januari dan Februari lalu ketika menyeberang dari Libya berikutan cuaca sejuk, iaitu sewaktu laut dalam keadaan paling bahaya.

Pendatang yang berjaya diselamatkan semalam dilaporkan bersesak dalam empat bot getah, bot kayu kecil dan sebuah lagi yang lebih besar.

Pengawal pantai Itali berkata, operasi menyelamat diselaraskan dengan bantuan kapal Norway di bawah perintah agensi sempadan Kesatuan Eropah (EU), Frontex dan dua kapal kemanusiaan yang dikendalikan kumpulan bantuan SOS Mediterranee, Doctors Without Borders dan kumpulan Spanish Poractive Open Arms.

Pengawal pantai turut menerima isyarat kecemasan daripada bot yang dinaiki 85 pendatang dari Greece menuju ke selatan Itali, namun mereka gagal keluar dari perairan negara itu.

Bagaimanapun, mereka berjaya diselamatkan kapal Malta yang berada di kawasan itu dan pendatang dibawa ke pelabuhan Kalamata di selatan Greece.

Usaha Kesatuan Eropah menutup laluan pendatang di Greece dikatakan menjadi punca pertambahan pendatang ke Itali, dengan kebanyakannya dari Libya, yang terletak kira-kira 300 kilometer dari pantai Itali. - AFP

32 dibaca
Berita Harian X