Jumaat, 3 March 2017 | 1:17pm

Penyelia parkir dipenjara, denda tawar rasuah

MAHKAMAH Seksyen Jenayah Seremban menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari dan didenda empat puluh ribu kepada Lim Hong Piew (kiri) atas kesalahan menawarkan suapan wang sebanyak lima ratus ringgit kepada pegawai Imigresen. - Foto Hasriyasyah Sabudin
MAHKAMAH Seksyen Jenayah Seremban menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari dan didenda empat puluh ribu kepada Lim Hong Piew (kiri) atas kesalahan menawarkan suapan wang sebanyak lima ratus ringgit kepada pegawai Imigresen. - Foto Hasriyasyah Sabudin

SEREMBAN: Mahkamah Sesyen di sini hari ini, memerintahkan seorang lelaki dipenjara tujuh hari dan denda RM40,000 kerana menawar dan memberi suapan kepada penguat kuasa Jabatan Imigresen, tahun lalu.

Hakim Fathiyah Idris membuat keputusan itu selepas Lim Hong Piew, 51, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, penyelia tapak letak kenderaan itu didakwa menawarkan suapan RM500 kepada pegawai Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Negeri Sembilan, supaya tidak menangkap dua pekerja warga asing.

Kesalahan itu dilakukan di tempat parkir lori Kampung Kebun, Bukit Pelandok, Port Dickson, jam 2.25 petang, 30 Mei tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memberikan suapan RM500 kepada pegawai sama di tempat dan masa yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda maksimum RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, jika sabit kesalahan.

Fathiyah menetapkan tertuduh dipenjara tujuh hari dan denda RM20,000 bagi setiap pertuduhan. Bagaimanapun, Hong Piew hanya dipenjara tujuh hari kerana hukuman penjara bagi kedua-dua pertuduhan berjalan serentak.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Karmila Mokhtar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X