Jumaat, 3 March 2017 | 2:49pm

Musa tempelak bekas menteri dakwa Sabah dianaktiri

KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman. - Foto ESSCOM Times

SANDAKAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman menempelak sikap seorang bekas menteri Persekutuan dari negeri ini kerana mendakwa Sabah dianaktiri oleh Kerajaan Pusat dan tiada pembangunan.

Musa yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, turut mempersoalkan pembangunan yang dibawa bekas pemimpin terbabit ke negeri itu ketika memegang jawatan penting di peringkat Persekutuan.

Sehubungan itu, Musa meminta rakyat berwaspada dan tidak keliru dengan dakwaan yang dibuat pembangkang demi mendapatkan sokongan rakyat.

"Berani dia kata tiada pembangunan di Sabah, Sabah dianaktirikan sedangkan selama 20 tahun dia di (kerajaan) Pusat pegang jawatan penting, apa yang dilakukan?

"Sabah antara negeri terbesar di Malaysia sudah tentu perlu peruntukan besar. Banyak sudah disalurkan, biarpun besar tetapi tak capai sepenuhnya, ada projek tidak penuhi keperluan penduduk, separuh siap... kita akan kaji semula," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Kampung Lupak Meluas di sini, hari ini.

Musa berkata, dalam lawatannya ke Semporna baru-baru ini, antara mesej disampaikan kepada penduduk daerah itu adalah mesti mengenang budi, menghargai dan bersyukur dengan kebaikan pemimpin.

Katanya, Barisan Nasional (BN) sudah menyalurkan peruntukan yang banyak untuk membangunkan negeri ini dan mensejahterakan rakyat.

Berita Harian X