Jumaat, 3 March 2017 | 9:15pm

Larian Baton Sukan SEA bermula di Brunei, Ahad ini

KUALA LUMPUR: Larian Baton Bangkit Bersama yang membawa semangat komuniti Asia Tenggara sempena temasya Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 akan bermula di Bandar Sri Begawan, Brunei Darussalam, Ahad ini.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC), larian itu akan dirasmikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau akan turut menyerahkan baton larian itu kepada Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Brunei Darussalam, Pengiran Muda Sufri Bolkiah sebagai tanda simbolik permulaan acara itu.

Larian membabitkan jarak sejauh 7.42 kilometer itu akan bermula di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, seterusnya melalui beberapa monumen bersejarah, antaranya Tugu Peringatan Sukan SEA 1999, Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin, Dirgahayu Mercu 60 dan Cendera Lambang Kenangan.

Larian itu akan disertai atlet Sukan SEA Brunei dan kumpulan atlet Sukan Para ASEAN sebagai tanda sokongan kepada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Acara itu dianjurkan MASOC dengan kerjasama negara-negara yang terbabit sebagai pra acara kepada temasya dwitahunan itu.

Ia adalah antara usaha mempromosikan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 kepada rakyat di negara-negara yang bertanding serta mewujudkan kesedaran mengenai penganjuran temasya ini dalam kalangan penduduk serantau.

Selepas Brunei, destinasi larian seterusnya ialah Filipina pada 12 Mac ini. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X