Sabtu, 4 March 2017 | 12:05am

Makanan tambahan perlu kawalan

KUALA LUMPUR: Pengambilan tablet makanan tambahan atau pil multi vitamin tanpa kawalan dos atau pengambilan dalam jangka panjang boleh mengancam kesihatan.

Sebagai contoh, pengambilan vitamin B6 dalam tempoh terlalu lama boleh menyebabkan kerosakan saraf. Begitu juga dengan pengambilan kalsium berlebihan boleh menjejaskan kesihatan jantung.

Malah, gabungan makanan tambahan dengan sesetengah vitamin mungkin menimbulkan tindak balas negatif yang memberikan kesan sampingan ke atas kesihatan.

KETUA Pegawai Penyelidikan Sains, Shaklee Corporation, Dr Bruce Daggy pada sesi forum Shaklee perlukah pemakanan tambahan. - Foto Rohanis Shukri

Naib Presiden Kanan, Penyelidikan dan Pembangunan dan Ketua Pegawai Sains Shaklee Corporation, Dr Bruce Daggy, berkata makanan tambahan tidak sepatutnya menjadi pengganti kepada diet harian.

Katanya, pihaknya tidak menggalakkan pengambilan makanan tambahan sebagai alternatif diet yang sihat serta seimbang kerana keperluan khasiat pemakanan masih perlu diambil daripada sumber semula jadi.

Pelengkap diet

"Makanan tambahan atau pil vitamin juga bukanlah untuk menyembuhkan sebarang penyakit tetapi bertujuan membina kesihatan lebih baik," katanya.

Presiden Pertubuhan Kesejahteraan Malaysia, Dr Rajbans Singh, berkata seseorang perlu mendapatkan nasihat doktor sebelum mengambil sebarang makanan tambahan.

Katanya, amat penting bagi seseorang menjalani pemeriksaan kesihatan iaitu ujian darah untuk mengenal pasti zat atau vitamin yang diperlukan oleh tubuh.

"Kesejahteraan bukan seperti roket yang boleh diperoleh dalam sekelip mata tetapi perlu diamalkan sehingga menjadi tabiat harian.

"Amal gaya hidup sihat bermula dengan perkara mudah seperti mengurangkan gula, alkohol, banyak minum air kosong dan mula berjalan," katanya.

Kaji kesan sampingan

Pengurus Dietetik Pusat Perubatan Sunway, Celeste Lau Wai Hong, berkata sebelum mengambil makanan tambahan, pastikan berapa banyak dos diperlukan.

"Dos mengenai berapa banyak kandungan makanan tambahan di dalam satu tablet boleh diperoleh pada label yang disertakan dengan bekas atau botol sesuatu produk yang dijual.

"Daripada label atau maklumat pengguna boleh tahu berapa banyak makanan tambahan diperlukan selain makanan biasa yang diambil dalam diet normal," katanya.

Katanya, pengguna juga perlu sedar apakah kesan gabungan makanan tambahan dan vitamin sebagai contoh kalsium tidak boleh diambil bersama sesuatu makanan tinggi protein kerana boleh menimbulkan tindak balas tidak diingini.

Contoh lain, sekiranya menginginkan lebih banyak penyerapan zat besi, ia perlu dimakan bersama vitamin C untuk memperkukuhkan kadar penyerapan.

INFO:

* Antara 21 khasiat pemakanan diperlukan tulang:

- Vitamin D

- Kalsium

- Potasium

- Vitamin B

- Protein

* Bakal ibu dan ibu hamil memerlukan:

- Zat besi

- Folat

- Iodine

- Kalsium atau vitamin D

- Vitamin B

- Vitamin K

- Omega 3 (DHA)

- Probiotik

- Prebiotik

PENGURUS Dietetik Sunway medical Centre, Caleste Lau Wai Hong (duduk dari kiri), Ketua Pegawai Penyelidikan Sains, Shaklee Corporation, Dr Bruce Daggy dan Presiden Malaysia Wellness Society, Dr Rajbans Singh pada sesi forum Shaklee perlukah pemakanan tambahan. - Foto Rohanis Shukri
Berita Harian X