Sabtu, 4 March 2017 | 12:07am

Pikul beban demi keselesaan pendaki

RANAU: Mengangkat barang yang berat dan bersaiz besar hingga dua atau tiga kali ganda saiz tubuh, adalah perkara biasa bagi kebanyakan 'porter' atau individu yang mengambil upah mengangkut barangan di Gunung Kinabalu.

Berdepan pelbagai cabaran berikutan laluan pendakian yang berliku, sempit dan curam sejauh enam hingga lapan kilometer, dari tapak permulaan di Pondok Timpohon adalah rutin harian yang terpaksa ditempuhi.

Ditambah pula terpaksa meredah dalam cuaca sejuk di bawah 10 darjah Celsius di kawasan puncak gunung, selain hujan yang menyebabkan laluan pendakian sentiasa licin menambahkan lagi kesukaran yang perlu dihadapi porter ketika melaksanakan tugas.

Dianggap 'mahal' dengan bayaran upah antara RM4.20 hingga RM6.50 sekilogram berat barangan dibawa, namun kepayahan yang ditanggung 'porter' dianggap berbaloi apabila sampai ke tempat yang ditetapkan.

Antara yang diangkut ialah bahan binaan seperti besi, simen dan kayu, makanan serta gas memasak untuk restoran di Laban Rata (kawasan penginapan pendaki). Malah ada juga terpaksa mengangkat tangki air, peti sejuk dan perabot, semuanya bergantung kepada kudrat porter.

Bukan itu saja, khidmat porter juga digunakan untuk mengangkat pendaki yang mengalami kecederaan atau tidak mampu meneruskan perjalanan kerana terlalu letih untuk turun semula ke Pondok Timpohon.

Bagi pendaki yang membawa barangan peribadi hingga ke puncak, khidmat porter diharapkan bagi meringankan beban sepanjang pendakian, meletakkan porter sebagai orang penting memastikan perkhidmatan pendakian di Gunung Kinabalu lancar dan selesa.

ANTARA yang diangkut ialah bahan binaan seperti besi, simen dan kayu, makanan serta gas memasak untuk restoran di Laban Rata. - Foto Lano Lan
ANTARA yang diangkut ialah bahan binaan seperti besi, simen dan kayu, makanan serta gas memasak untuk restoran di Laban Rata. - Foto Lano Lan

Demi mencari rezeki

Menariknya, bukan hanya lelaki, tugas 'porter' di Gunung Kinabalu turut dipikul wanita dan mereka yang sudah berusia dengan majoritinya adalah masyarakat Dusun yang tinggal di sekitar Taman Kinabalu, di Kundasang.

Rutin mereka bermula seawal jam 6 pagi, berkumpul di kawasan pejabat Taman Kinabalu bagi mengambil barangan yang akan diangkat sebelum dibawa ke Pondok Timpohon, untuk pendakian ke puncak gunung yang biasanya bermula seawal jam 8 pagi.

Ahini Dainin, 38, dari Kampung Himbaan, Bundu Tuhan, antara lima 'porter' wanita berlesen yang memikul amanah mengangkut barangan ke puncak Gunung Kinabalu hampir setiap hari.

Beliau berkata, tugas 'porter' wanita tiada beza dengan apa yang dipikul 'porter' lelaki kerana masing-masing mengangkut jenis barangan yang sama tanpa mengira berat atau kuantiti, bergantung kepada keupayaan dan kemahuan individu. 

Keupayaan porter wanita di Gunung Kinabalu pasti mengagumkan siapa saja yang mendaki gunung tertinggi Asia Tenggara itu berikutan keupayaan mereka mengangkat barangan berat yang kelihatan tidak sepadan dengan bentuk fizikal dan kudrat wanita.

Ahini mengakui mengangkat barangan berat bukan mudah, lebih-lebih lagi menempuh pendakian jauh bermula dari paras 1,830 meter dari aras laut di Pondok Timpohon hingga ke Laban Rata (di ketinggian 3,352 meter) sejauh enam kilometer.

"Bagi kami tiada masalah mengangkat apa saja jenis barang... hari ini kami mengangkat simen seberat 50 kilogram, ada juga mengangkat tong gas, esok atau lusa bawa barang lain pula. Memang diakui ia bukan mudah tetapi inilah sumber pendapatan kami.

"Berat bebanan yang dipikul dan cabaran ditempuh sepanjang pendakian sudah menjadi perkara biasa. Memang penat dan meletihkan tetapi disebabkan amanah dan mahu hidup, kami kuatkan semangat untuk melakukannya," katanya.

PORTER melalui denai untuk menghantar barangan ke Laban Rata Gunung Kinabalu. - Foto Lano Lan
PORTER melalui denai untuk menghantar barangan ke Laban Rata Gunung Kinabalu. - Foto Lano Lan

Pengalaman 13 tahun

Menurut Ahini, beliau sudah 13 tahun menjadi 'porter', bagi pendakian ke Laban Rata bersama barangan, mengambil masa kira-kira empat jam, manakala perjalanan turun semula ke Pondok Timpohon sekitar sejam setengah.

"Kami biasanya bergerak berkumpulan antara dua hingga lima orang atas faktor keselamatan, selain membolehkan ada teman untuk bercerita bagi mengurangkan rasa penat dan bosan ketika mendaki.

"Biasanya kami sampai di Laban Rata pada jam 12 tengah hari. Selepas menyerahkan barangan, kami berehat antara setengah jam hingga sejam sebelum turun semula dan biasanya tiba di Pondok Timpohon pada jam 2.30 petang atau 3 petang.

"Beginilah rutin kami, dalam seminggu kami biasanya mendaki mengangkut barangan ke Laban Rata antara empat hingga lima kali. Kalau tiada barangan mahu diangkat, kami di kampung mengusahakan kebun sayur atau berehat," katanya.

Bagi rakannya, Lijah Bugang, 44, berkata disebabkan lama berkhidmat sebagai porter, mereka akan rindu untuk mendaki jika terlalu lama berehat kerana pekerjaan itu sudah sebati dalam hidup mereka.

Katanya, insiden gempa bumi berukuran 5.9 skala Richter berpusat di Gunung Kinabalu pada 5 Jun dua tahun lalu yang menyebabkan semua aktiviti pendakian ke gunung itu dihentikan kira-kira enam bulan, adalah tempoh paling lama mereka tidak mendaki.

"Kalau diikutkan sudah ratusan malah ribuan kali kami turun naik gunung tetapi sebagai porter kami tidak pernah bosan, malah perasaan rindu untuk mendaki akan timbul jika terlalu lama berehat seperti yang berlaku ketika gempa bumi lalu.

"Bagi saya, berada di kawasan atas Gunung Kinabalu setiap kali mendaki membawa barangan memberi ketenangan dan sebab itulah saya suka selalu mendaki supaya dapat menikmati pemandangan indah dan udara sejuk gunung," katanya.

PORTER Gunung Kinabalu, Nelson Boon. - Foto Lano Lan
PORTER Gunung Kinabalu, Nelson Boon. - Foto Lano Lan

Kesihatan pada tahap tertinggi

Sementara itu, Nelson Boon, 44, berkata selain kekuatan fizikal dan tahap kesihatan yang baik, kerjaya sebagai porter memerlukan rehat yang cukup dan emosi yang baik.

"Setiap porter perlu mampu bertahan dalam cuaca sejuk melampau terutama di musim hujan kerana ia boleh menjejaskan keupayaan mereka untuk meneruskan pendakian ketika mengangkut barangan ke kawasan puncak.

"Cabaran di musim hujan, cuaca sangat sejuk di kawasan gunung dan boleh menyebabkan tangan menjadi kebas. Kalau tidak tahan, sukar untuk mendaki, apatah lagi dengan membawa beban yang berat," katanya yang menjadi porter sejak 20 tahun lalu.

Nelson yang juga seorang mekanik sambilan menganggap tugas seorang porter menjadi sebahagian rutin hidupnya dan Gunung Kinabalu pula rumah kedua kerana banyak masa dihabiskan di gunung berkenaan.

Sounin Jumait, 58, yang dianggap 'porter' veteran Gunung Kinabalu, berkata walaupun sudah mencecah usia warga tua, beliau masih berkemampuan berkhidmat sebagai porter, malah mahu meneruskan kerjaya itu selagi keadaannya mengizinkan.

"Kerjaya itu bukan saja menjadi sumber pendapatan, malah kekerapan mendaki gunung banyak membantu mengekalkan kecergasan dan kesihatan sehingga mampu melakukan kerja berat walaupun sudah berusia.

"Bukan saja porter, malim gunung juga ramai yang sudah berumur, malah ada yang berkhidmat sejak tahun 1970-an lagi. Kami biasanya berhenti apabila sakit atau keadaan kesihatan benar-benar tidak mengizinkan," katanya.

 

SEKUMPULAN porter melalui denai untuk menghantar barangan ke Laban Rata Gunung Kinabalu. - Foto Lano Lan
SEKUMPULAN porter melalui denai untuk menghantar barangan ke Laban Rata Gunung Kinabalu. - Foto Lano Lan

 

INFO - Porter Gunung Kinabalu

  • Kira-kira 100 porter berdaftar
  • 5 porter wanita 
  • 12 kilometer jarak pendakian dan menuruni  gunung dilalui porter di antara Pondok Timpohon dan Laban Rata
  • 17.4 kilometer jarak pendakian dan menuruni gunung di antara Pondok Timpohon dan Puncak Low's, Gunung
  • Kinabalu

  • 4 jam tempoh pendakian ditempuhi porter dari Pondok Timpohon ke Laban Rata
  • 1 hingga 2 jam tempoh menuruni gunung dari Laban Rata ke Pondok Timpohon
  • RM4.20 sekilogram hingga RM6.50 sekilogram upah mengangkat barangan
  • Jam 8 pagi waktu porter mula mendaki menghantar barangan
  • 4 hingga 5 kali seminggu kekerapan seorang porter mendaki mengangkut barang

 

PORTER berehat sebelum melalui denai untuk menghantar barangan ke Laban Rata Gunung Kinabalu. - Foto Lano Lan
PORTER berehat sebelum melalui denai untuk menghantar barangan ke Laban Rata Gunung Kinabalu. - Foto Lano Lan
 SEKUMPULAN porter melalui denai untuk menghantar barangan ke Laban Rata Gunung Kinabalu. - Foto Lano Lan
SEKUMPULAN porter melalui denai untuk menghantar barangan ke Laban Rata Gunung Kinabalu. - Foto Lano Lan
Berita Harian X