Sabtu, 4 March 2017 | 12:07am

Ku Mahzurah masih trauma dengar deruman enjin jet

LANGKAWI: Setiap kali mendengar deruman enjin jet, hati Ku Mahzurah Ku Mahmud, 44, pasti tidak tenang, malah jiwanya meronta kebimbangan berikutan khuatir detik hitam yang menimpa keluarganya dua tahun lalu, berulang.

Ku Mahzurah dan suami, Zulkeflee Abu Mutalib, 48, masing-masing dibelenggu trauma akibat insiden dua pesawat terhempas ketika melakukan aksi aerobatik sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) dua tahun lalu, yang menyebabkan kediamannya sama sekali musnah.

KU Mahzurah menunjukkan sebahagian serpihan pesawat yang masih boleh ditemui di persekitaran rumah mereka. - Foto Hamzah Osman

Selain kediaman pasangan itu di Kampung Gelam, dekat Kedawang, di sini, turut menerima kesan ialah kediaman bersebelahan milik adik mereka yang terbakar 20 peratus selepas satu daripada dua pesawat KT-1 Woongbi milik Tim Jupiter dari Indonesia itu terhempas di sisi kediaman mereka.

Ku Mahzurah ketika ditemui mengakui tidak dapat menyembunyikan perasaan trauma dan bimbang, apatah lagi Tim Jupiter dikatakan kembali beraksi pada edisi ke-17 temasya dwi-tahunan itu yang akan berlangsung pada 21 hingga 25 Mac ini.

"Ruang udara rumah kami memang laluan pesawat. Jadi, setiap kali dengar bunyi enjin kapal terbang, perasaan saya tidak tenteram dan sukar untuk saya ceritakan perasaan itu kepada orang lain.

"Disebabkan rumah kami di sini, kami terpaksa menghadapinya. Cuma sepanjang LIMA kali ini, saya lebih suka bekerja dan anak-anak akan saya hantar ke rumah ibu kerana saya takut kejadian sama berulang," katanya.

Bagi Ku Mahzurah, dia mengakui kesan trauma sering kali hadir, malah dia juga sedih setiap kali melihat sisa serpihan pesawat yang masih boleh ditemui di persekitaran rumahnya.

KU Mahzurah bersama anak-anaknya melihat gambar mereka yang masih ada kesan terbakar akibat tragedi membabitkan pesawat pasukan aerobatik Jupiter dari Indonesia pada 15 Mac 2015. - Foto Hamzah Osman

Malah, katanya, hatinya turut sebak setiap kali meneliti keratan akhbar berkaitan tragedi itu yang kini disimpan sebagai bukti tragedi yang turut mengubah kehidupan keluarganya itu.

"Sehingga kini, keluarga saya masih menyimpan dengan elok beberapa keratan akhbar, gambar dan video yang dirakam jiran serta rakan berkaitan tragedi itu.

"Setiap kali melihatnya, saya sebak apatah lagi mengenangkan rumah yang kami bina dengan duit sendiri musnah sepenuhnya bersama kenangan kami sekeluarga," katanya.

Dalam kejadian 15 Mac 2015, dua pesawat Tim Jupiter bergesel sesama sendiri ketika melakukan pertunjukan udara, sebelum kedua-duanya terhempas masing-masing di kawasan rumah di Kampung Gelam dan kawasan belukar di Kampung Darat Benta berhampiran Bukit Cengkuan, di sini.

ZULKEFLEE Abu Mutalib (kiri) dan isterinya, Ku Mahzurah menunjukkan sebahagian serpihan pesawat yang masih boleh ditemui di persekitaran rumah mereka. - Foto Hamzah Osman

Bagaimanapun, empat juruterbang terbabit, Arief Hartono, Sri Rajoro, Humaidi Syarif Romos dan Yadi Indra Yadi hanya cedera ringan dan masing-masing dirawat di Hospital Langkawi di sini.

Zulkeflee pula berkata, tragedi hitam dialami keluarganya itu amat perit untuk ditanggung dan berharap ia tidak berulang pada pameran kali ini yang difahamkan skala penganjurannya lebih besar berbanding sebelum ini.

"Pertunjukan udara memang tarikan utama sepanjang LIMA berlangsung dan saya tiada hak untuk menghalangnya. Cuma saya boleh berdoa supaya tragedi pahit dua tahun lalu tidak berulang.

"Untuk keluarga saya, kami pasti tidak akan berada dalam rumah sepanjang pertunjukan udara diadakan. Lebih baik berada di tempat terbuka kerana senang untuk melihat pergerakan pesawat sebagai persediaan," katanya.

Beliau berkata, rumahnya sudah dibina semula di tapak sama, dengan kos melebihi RM100,000.

"Alhamdulillah kami mula menduduki rumah yang dibina semula oleh kontraktor yang dilantik pihak berkaitan pada 13 Julai 2015," katanya.

Selain Zulkiflee dan isteri, rumah baharu itu kini didiami anak kembar tiga mereka iaitu Nur Shafika, Nur Shafira dan Nur Shafina yang berusia 11 tahun, selain Mohd Shafik, 15, dan Nur Shamilia, 20.

Seorang lagi anak mereka, Nor Shifa, 24, sudah berkahwin dan kini tinggal berasingan.

INFO: Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi - LIMA'17

* Pameran berlangsung 21-25 Mac.

* 550 pempamer daripada 38 negara mengambil bahagian.

* Lebih 80 pesawat dan 68 kapal perang dijangka dipamerkan.

Berita Harian X