Sabtu, 4 March 2017 | 2:54pm

215 terima darjah, pingat kebesaran Pahang


PEMANGKU Sultan Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah. - Foto Farizul Hafiz Awang

PEKAN: Pemangku Sultan Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyempurnakan istiadat penganugerahan darjah kebesaran dan pingat kepada 215 penerima sempena memuliakan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar di sini, hari ini.

Penasihat Khas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Wan Ahmad Wan Omar mendahului senarai 10 penerima Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Turut menerima SSAP ialah Pro Canselor dan Pengerusi Universiti Kuala Lumpur, Datuk Dr Adham Baba; Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Ibrahim Ahmad; Profesor Pusat Penyelidikan Tasik Chini, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mushrifah Idris dan Pengarah Urusan Ahmad Zaki Resources Berhad, Datuk Wan Zakariah Wan Muda.

Lima individu dianugerah Darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Datuk ialah isteri Presiden Mahkamah Rayuan, Puan Sri Salwany Mohamed Zamri; isteri Hakim Besar Mahkamah Tinggi Malaya, Puan Sri Rohani Mohamed Kassim; Pegawai Kemajuan Negeri Pahang, Datuk Zulkifli Yaacob; Pengarah Urusan Kumpulan Bharat, Datuk A Vinod Kumar dan Timbalan Ketua Eksekutif Boon Siew Honda Sdn Bhd, Datuk Tan Hui Jing.

Sementara itu, 15 individu dikurniakan Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran Datuk termasuk Duta Besar Lubnan ke Malaysia, Ali Daher; Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Mohd Yazid Ramli; Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Masri Mohd Daud; Pengarah Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dr Sirajuddin Suhaimee.

Konsul Jeneral Malaysia ke Jeddah, Arab Saudi, Mohammad Ali Selamat; Pakar Perubatan Nefrologi, Jabatan Nefrologi, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, Dr Mohd Ramli Seman; dan Pendaftar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Wan Mohd Zawawi Wan Abd Rahman.

Seramai 77 penerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk termasuk Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Masir Kujat; Setiausaha Eksekutif Asia Pacific Forum On Families (APFAM), Tengku Raihanah Tengku Ismail; Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Mokhtarud-din Husain; Pengarah Perancang Bandar dan Desa Pahang, Hazizah Sulaiman; Pengarah Jabatan Pertanian Pahang, Mohd Amin Hosnan dan Pengarah Lembaga Penggalakkan Perindustrian Malaysia (MIDA) Pahang, Zaul Abd Hamid.

Pingat Setia Ahmad Shah Pahang (SAP) dikurniakan kepada 13 penerima, Setia Mahkota Pahang (SMP) kepada 25 penerima, Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP) kepada enam penerima dan Ahli Mahkota Pahang (AMP) kepada 29 penerima, sembilan individu menerima Pingat Khidmat Cemerlang (PKC), Pingat Kelakuan Terpuji (PKT) (tujuh) dan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) (19).

Berita Harian X