Sabtu, 4 March 2017 | 11:55pm

Kedah pulun MU untuk kembali ke puncak


PEMAIN Kedah, Sandro Da Silva Mendanca (kiri) berebut bola dengan pemain Melaka United, Ahmad Khuzaimi Piee pada saingan Liga Super di Stadium Darulaman- Foto Amran Hamid

ALOR SETAR: Kedah mencipta kemenangan kelima musim ini dan kembali ke puncak liga apabila menewaskan pendatang baru Liga Super, Melaka United 4-0 dalam saingan di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Laungan 'Pulun Kedah Pulun' oleh 25,000 penyokong yang hadir bagaikan membakar semangat pemain tuan rumah yang menguasai sebahagian besar permainan.

Sebaik bermula, pelawat mencemaskan gawang Kedah melalui percubaan Amri Yahyah hasil gerakan dari bahagian sayap kiri oleh Sergio Aguero, namun percubaannya tersasar.

Tuan rumah segera bingkas mengatur serangan menerusi pemain tengah Liridon Krasniqi pada minit ke-11 melalui hantaran lintang cantik tetapi gagal disambut tepat Ken Ilso.

Liridon sekali lagi melakukan percubaan ke pintu gol Melaka pada minit ke-19 tetapi cubaannya dihalang pertahanan Melaka.

Ken Ilso akhirnya memecah kebuntuan apabila meledak gol pertama Kedah pada minit ke-33 melalui hantaran cantik pemain tengah, Sandro Da Silva.

Dua minit sebelum tamat babak pertama, Melaka yang mendapat sepakan percuma gagal memanfaatkan peluang apabila rembatan Amri tersasar.

Memasuki babak kedua, Kedah diberi sepakan penalti pada minit ke-48 selepas Ken Ilso dijatuhkan dalam kawasan bahaya dan Sandro yang mengambil tugas tidak mensia-siakan peluang untuk menghasilkan gol kedua Kedah.

Pelawat hampir bangkit mencipta gol melalui Sergio Aguero pada minit ke-50 namun percubaannya ditepis penjaga gawang Kedah Ifwat Akmal.

Perlawanan terpaksa dihentikan tiga minit pada minit ke-69 apabila Melaka membuat pertukaran jersi selepas nombor yang tertera kurang jelas.

Jersi baharu itu nyata gagal mengubah rentak apabila tuan rumah terus menambah derita pelawat apabila Sandro sekali lagi menambah gol kedua peribadinya untuk mencetak gol ketiga Kedah pada minit ke-78.

Pada minit terakhirm Ken Ilso sekali lagi tampil sebagai pemusnah apabila meledak gol keempat Kedah hasil sepakan percuma Sandro.

Berita Harian X