Ahad, 5 March 2017 | 7:41am

Barcelona, Real 'lepas geram'


PENYERANG Barcelona, Lionel Messi (kanan) menggelicik pemain Celta de Vigo pada perlawanan La Liga, awal pagi tadi. - Foto AP

MADRID: Lionel Messi cemerlang mencetak dua gol dan dua umpanan ketika Barcelona membelasah Celta Vigo 5-0 pada aksi pertama sejak Luis Enrique mengumumkan mahu berundur pada akhir musim ini.

Kemenangan membolehkan Barcelona kekal di puncak liga, mengatasi seteru utama Real Madrid yang turut menang besar 4-1 bertemu Eibar tanpa kelibat dua tonggak, Cristiano Ronaldo dan Gareth Bale.

Penyerang Perancis, Karim Benzema membuktikan dirinya tetap penting buat Real apabila meledak dua gol dengan pasukannya yang ketinggalan satu mata di belakang Barca namun kurang satu perlawanan.

Persembahan membanggakan Messi, awal pagi tadi memastikan Barca memperoleh motivasi terbaik untuk cuba bangkit daripada ketinggalan 4-0 kepada Paris Saint-Germain dalam aksi Liga Juara-Juara, Rabu ini.

"Kami kelihatan sudah tewas sebelum perhitungan itu, tetapi dengan kejutan... kami mampu kembali pada perhitungan itu jika kekal bermain sebegini," kata Enrique kepada stesen televisyen Sepanyol, Movistar.

Messi membuka tirai jaringan pada minit ke-24 selepas meloloskan diri daripada kawalan pertahanan Celta untuk melepaskan percubaan dari dalam kotak penalti.

Neymar mengukuhkan cengkaman Barca apabila bijak menguis bola umpanan Messi untuk melepasi jangkauan penjaga gol Sergio Alvarez daripada jarak dekat.

Dominasi tuan rumah terus membuahkan hasil dengan jaringan ketiga sebelum sejam permainan, kali ini tiba giliran Ivan Rakitic yang dilihat berada dalam kedudukan ofsaid apabila menolak masuk bola hantaran Rafinha.

Messi kemudiannya sekali lagi mencipta gerakan gol keempat tatkala bola hantaran lintang rendahnya ditolak kemas oleh Samuel Umtiti untuk gol peribadi pertamanya.

Pemain terbaik dunia lima kali itu memperagakan gol individu sekali lagi tatkala menyelinap masuk dari sebelah kanan padang sebelum melepaskan rembatan melepasi Alvarez pada minit ke-64. - AFP

130 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »