Ahad, 5 March 2017 | 2:35pm

Usahawan disaran ledak perniagaan atas talian


DATUK Seri Nancy Shukri (tiga dari kiri) merasmikan Program Prospernita 2017 Peringkat Zon Selatan sambil diperhatikan Pengerusi PUNB, Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam (kiri) di Hotel Mudzaffar, Ayer Keroh, Melaka. - Foto Rasul Azli Samad

AYER KEROH : Seramai 1.18 juta usahawan wanita di negara ini berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) manakala 6,702 di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang menyumbang pembangunan ekonomi negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri bagaimanapun tidak menafikan jumlah sebenar usahawan golongan itu jauh lebih ramai daripada yang berdaftar terutama membabitkan perusahaan kecil-kecilan dan industri kotej di luar bandar.

"Kita menyarankan usahawan wanita memanfaatkan ledakan peluang perniagaan menerusi atas talian dan mendaftar dengan SSM atau pihak berkaitan. Ini kerana mereka (wanita) mempunyai idea yang baik malah di luar jangkaan.

"Kita menyarankan mereka supaya mendaftar secara rasmi bagi menyebarluas produk sedia ada ke pasaran negara luar melalui keunikan masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program PROSPERNITA Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) 2017 Zon Selatan sempena Hari Wanita Antarabangsa di Hotel Mudzaffar, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Hadir sama pada program itu, Pengerusi PUNB, Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam; Pengerusi PROSPERNITA, Datuk Jamelah A Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Datuk Dzulkifli Fadzilah dan EXCO Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Wira Md Yunos Husin.

Nancy berkata, kebanyakan peniaga atas talian adalah golongan wanita muda yang mempunyai idea bagus serta kreatif dalam penghasilan dan pemasaran produk selain ia tidak dijual dalam pasaran biasa.

"Gaya hidup masa kini juga menunjukkan perubahan di sekeliling berteraskan digital. Hampir semua urusan seperti perbankan sehingga kepada 'memesan' (place order) makanan dan membeli keperluan dapur juga dilakukan hanya dengan satu 'klik' iaitu secara digital atau atas talian," katanya.

Nancy berkata, Agensi Inovasi Malaysia (AIM) di bawah seliaan kementeriannya menerusi Yayasan Steinbeis Malaysia dan PlatCOM Ventures Sdn Bhd turut berperanan membantu golongan usahawan di negara ini.

Sementara itu, Nancy berkata, PUNB berjaya membangunkan seramai 2,835 wanita atau 32.4 peratus daripada jumlah keseluruhan 8,745 usahawan sekali gus melepasi sasaran 30 peratus pembabitan golongan itu dalam semua bidang seperti yang dihasratkan kerajaan menerusi sektor pembuat keputusan, penggubal dasar dan keusahawanan.

122 dibaca
Berita Harian X