Ahad, 5 March 2017 | 7:09pm

Tarikh permohonan sambung pengajian dilanjutkan

KUALA LUMPUR: Permohonan kemasukan pelajar ke Universiti Awam (UA), Politeknik dan Kolej Komuniti akan dilanjutkan sehingga 5 April ini.

Menurut Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi (BPKP JPT), Kementerian Pendidikan Tinggi, lanjutan itu berikutan perubahan tarikh pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada 16 Mac ini.

Katanya, permohonan boleh dibuat melalui sistem UPUOnline di http://upu.mohe.gov.my.

"Selain itu, tarikh akhir pembelian 'Nombor Unik ID' di Bank Simpanan Nasional (BSN) turut dilanjutkan sehingga 4 April ini.

"Pemohon wajib membeli Nombor Unik ID pada harga RM15.64 sebelum mengemukakan permohonan. Sila pastikan slip pembayaran sebagai bukti sah pembelian disimpan untuk rujukan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut BPKP JPT, mulai sesi akademik 2017/2018, permohonan kemasukan ke Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaya (UM) bagi lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau yang setaraf adalah di laman http://upu.mohe.gov.my.

Katanya, BPKP JPT akan membuka kaunter khidmat runding permohonan kemasukan UA dan Politeknik Premier di bangunan Kementerian Pendidikan Tinggi di Aras Tanah, Presint 5, Putrajaya mulai 10 Mac hingga 5 April ini dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang pada waktu dan hari bekerja sahaja bagi memudahkan pemohon.

"Kemudahan 'Hotline' turut disediakan untuk membantu menjawab sebarang kemusykilan pemohon. Pemohon boleh menghubungi BPKP JPT di talian telefon 03-8870 8200 untuk bantuan," katanya.

Berita Harian X