Ahad, 5 March 2017 | 11:00pm

Pelajar dihantar pulang dari Mesir rayu bantuan


(DARI kiri) Ezzah Azmi, Nur Afiqah Elia Mohd Nazim dan Siti Nur Husna tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, hari ini.

SEPANG: Seorang daripada penuntut program pengajian al-Quran di Mesir yang dihantar pulang ke Malaysia kerana tidak mempunyai visa, merayu bantuan semua pihak untuk membolehkannya menamatkan pengajian tahfiznya.

Pelajar, Nur Afiqah Elia Mohd Nazim, 21, berasal dari Shah Alam berkata, beliau sudah setahun dua bulan berada di Mesir dan pada tahun pertama pengajiannya, tidak menghadapi sebarang masalah dengan visa.

"Saya dan pelajar lain sudah pun memohon visa sejak Disember, namun masih belum menerima sebarang jawapan. Saya harap pihak yang berkenaan dapat membantu saya dan pelajar lain mendapatkan visa dan pulang ke Mesir.

"Kasihanilah kami. Kami ingin menuntut ilmu hingga tamat," katanya kepada pemberita sambil menangis ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini.

Nur Afiqah Elia merupakan seorang daripada 19 pelajar kumpulan pertama daripada 104 pelajar Markaz Tahfiz Makkah AlMukaramah yang terpaksa pulang kerana masalah visa.

Sementara itu, pengasas markaz berkenaan, Nor Anisah Abdul Malek ketika ditemui berkata daripada 19 pelajar yang pulang hari ini, 17 adalah pelajar wanita dan selebihnya lelaki.

Semua mereka berusia 10 hingga 23 tahun.

Pelajar yang lain akan pulang secara berperingkat dan berkumpulan esok. Program di markaz ini sudah berjalan selama 19 tahun dan selama ini kami tidak pernah ada masalah mengenai visa seperti yang timbul baru-baru ini, katanya lagi.

Baru-baru ini BERNAMA melaporkan seramai 126 pelajar Malaysia yang bersekolah di sebuah maahad tahfiz di Al-Sharqia Mesir ditahan polis negara itu pada 27 Februari lalu berhubung kesalahan visa pelajar.

Setiausaha Kedua Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, Mohd Husaini Zainuddin, berkata pada 28 Februari, National Security Service (NSS) Mesir memutuskan 104 daripada pelajar itu akan dihantar pulang manakala selebihnya dibebaskan.

Beliau berkata pihak Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah percaya kegagalan pusat pengajian itu berdaftar dengan Sektor Sekolah Al-Azhar menyebabkan pihak berkuasa Mesir tidak memberi visa kepada kumpulan pelajar berkenaan. - BERNAMA

538 dibaca
Berita Harian X