Isnin, 6 March 2017 | 12:14am

Berkat usaha Ammar jual kambing golek

KUALA LUMPUR: Berbekalkan wang simpanan hanya RM500, seorang anak muda memulakan langkah pertama dengan membeli seekor kambing dan menyediakan perapan ketika membuka perniagaan sendiri dan mendaftarkan EA Inspire Enterprise pada 2009.

Kini, Mohamad Ammar Sobri, 29, muncul antara usahawan kecil yang berjaya menempa nama tersendiri dalam penjualan daging perap dan kambing golek di negara ini, dengan menggajikan seramai 25 pekerja dan mempunyai 75 stokis serta ejen di seluruh negara.

Malah, bermula daripada seekor kambing itu, beliau kini mampu menjual lebih 120 kambing golek dan antara tiga hingga lima tan daging perap sebulan. Produknya yang dinamakan `The Shepherd' juga sudah melangkaui pasaran di luar negara seperti Singapura, Surabaya, Jakarta dan terbaru ke Filipina.

Mengimbas kembali cabaran pada awal perniagaan, beliau berkata, resipi perapan itu adalah hasil air tangan isterinya, Noremilia Sharmila Nawawi, 28, yang mengadunkan rempah ratus yang diperoleh dari pasaran tempatan serta dari Thailand.


MOHAMAD Ammar Sobri dan isterinya, Noremilia Sharmila Nawawi menunjukkan produk yang dihasilkan oleh syarikatnya. - Foto Rosela Ismail

"Keluarga tidak membantu ketika itu. Malah, mereka agak negatif dengan pilihan saya kerana menganggap ia akan gagal serta tidak mendatangkan hasil. Lagi parah, apabila saya terpaksa berdepan mentaliti masyarakat yang mempunyai pelbagai pandangan kurang baik terhadap pemakanan daging kambing.

"Hanya Allah tahu perasaan saya ketika itu. Tertekan, kecewa dan letih menghadapi semuanya. Bagaimanapun, saya cukup bertuah kerana dianugerahkan teman hidup yang cukup memahami serta memberikan semangat tanpa jemu.

"Ketika itu, perniagaan kami hanya beroperasi dari rumah. Tiada istilah untung bagi kami, jika 'balik modal' pun itu sudah memadai dan memberikan 1000 rahmat buat kami," katanya kepada BH Plus di pusat operasi perniagaan EA Inspire, Kompleks Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Sungai Tangkas, Bangi, Selangor.

Mohammad Ammar berkata, beliau dan isteri mendirikan rumah tangga pada usia muda iaitu pada usia 19 tahun dan sebaik melangkah ke alam perkahwinan, kedua-dua ibu bapa mereka terus memberi 'amaran' supaya pandai-pandailah untuk hidup sendiri.


PENGASAS EA Inspire Enterprise, Mohamad Ammar Sobri. - Foto Rosela Ismail

"Pada mulanya saya agak terkesan dengan kata-kata itu kerana kami masih muda, apatah lagi masih mengikuti pengajian di kolej.

"Namun, kami tiada pilihan dan kedua-dua keluarga juga sudah menyatakan pendirian tidak akan membantu. Suka atau tidak, kami sendiri yang akan menentukan baik buruk perjalanan hidup kami," katanya.

Berbekalkan cabaran itu, Mohamad Ammar dengan sokongan tidak berbelah bagi isteri terus mengorak langkah mencuba pelbagai jenis perniagaan hanya untuk mendapatkan wang bagi perbelanjaan harian mereka.

"Macam-macam kami cuba jual. Daripada menjadi 'runner', menjual burger, jual pakaian dan segala macam cara yang boleh mendatangkan duit pada kami.

"Pada masa sama, kami juga perlu membahagikan masa untuk mencari duit dan menyelesaikan tanggungjawab kami sebagai pelajar. Tiada istilah penat, tiada istilah malu kerana apa yang penting kami perlu teruskan hidup," katanya.


MOHAMAD Ammar (kiri) bersama pekerjanya membakar daging kambing untuk tempahan pelanggan. - Foto Rosela Ismail

Sepanjang tempoh tiga tahun pertama EA Inspire beroperasi menggunakan jenama 'The Shepherd', perniagaan Mohamad Ammar diusahakan secara bersendirian dan tidak mendapat sebarang bantuan kewangan luar termasuk dana atau pinjaman daripada institusi berkaitan.

"Bukan menolak bantuan tetapi saya lebih memikirkan perbelanjaan berhemah dan takut menanggung beban pinjaman yang tinggi. Prinsip saya, jika ada duit baru 'kerja' jalan dan jika sebaliknya berusaha mencukupkan modal sedia ada," katanya yang juga sentiasa menganggap semua kakitangannya adalah 'emas hitam' yang berharga.

Berdasarkan pengalaman dan jatuh bangun perniagaan, EA Inspire akhirnya terus berkembang dan kini turut menyediakan perkhidmatan katering dan sewaan peralatan membakar. Lebih membanggakan daripada permulaan modal ratusan ringgit, syarikat berkenaan kini mampu menjana nilai jualan tujuh angka setahun.

"Saya juga sudah mula bekerjasama dengan Kelab Generasi Transformasi Ruminan (GTR) untuk mendapatkan lebih banyak peluang pasaran. Selain itu, saya juga mengimport daging kambing dari luar negara seperti Australia bagi menampung keperluan yang semakin meningkat.

"Saya juga kini dalam proses untuk menaik taraf dan menukar kepada status syarikat kepada sendirian berhad. Saya menjangkakan ia dapat direalisasikan pada April ini. Saya juga merancang untuk mengadakan sebuah kilang bagi memudahkan lagi operasi serta menampung permintaan yang semakin bertambah.

Setakat ini, katanya, beliau hanya ada satu kemudahan pemprosesan berpusat iaitu di Sungai Tangkas yang menampung semua tempahan dari seluruh negara serta luar negara.

"Disebabkan cabaran itu, saya kini mampu berdikari. Malah, dengan kewujudan EA Inspire, hubungan saya dengan keluarga dan keluarga mentua juga semakin erat. Malah, ada yang bekerja dengan saya serta membantu mengembangkan perniagaan kami," katanya.

EA Inspire yang memasarkan produknya menggunakan platform media sosial, kini mampu mengeluarkan sekurang-kurangnya 3,000 hingga 5,000 pek daging perap sebulan. Terkini, syarikat itu turut mengeluarkan produk terbaharu berupa kepingan daging lembu premium.


MOHAMAD Ammar muncul antara usahawan kecil yang berjaya menempa nama tersendiri dalam penjualan daging perap dan kambing golek di negara ini, dengan menggajikan seramai 25 pekerja dan mempunyai 75 stokis serta ejen di seluruh negara.

INFO

Nama: Mohamad Ammar Sobri

Jawatan : Pengasas dan Pengurus EA Inspire

Asal : Pulau Pinang

Kelulusan Akademik : Diploma Pengurusan Perniagaan dari Kolej Islam Antarabangsa (IIC), Gombak.

194 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »