Isnin, 6 March 2017 | 7:50am

Monaco belasah Nantes kekal dahului Ligue 1

PEMAIN Monaco, Kylian Mbappe (tengah) beraksi ketika menentang Nantes pada perlawanan Ligue 1, awal pagi tadi. - Foto REUTERS
PEMAIN Monaco, Kylian Mbappe (tengah) beraksi ketika menentang Nantes pada perlawanan Ligue 1, awal pagi tadi. - Foto REUTERS

PARIS: Bintang muda sensasi Kylian Mbappe menghukum Nantes dengan dua gol babak pertama tatkala Monaco mencatat kemenangan besar 4-0, awal pagi tadi untuk kembali melebarkan penguasaan di puncak Ligue 1 dengan tiga mata.

Mbappe melakukan voli minit keempat untuk jaringan pembukaan di Stade Louis II dan menanduk padu gol keduanya pada masa kecederaan separuh masa pertama selepas Valere Germain terdahulu menggandakan kedudukan buat Monaco.

Fabinho menyempurnakan penalti keenamnya musim ini pada minit ke-59 untuk memastikan kemenangan kelima dalam enam aksi terakhir Monaco, yang mengekalkan rentak tanpa tewas sejak 10 perlawanan lalu.

Skuad kendalian Leonardo Jardim itu tidak menunjukkan tanda untuk memperlahankan rentak dalam perebutan tiga penjuru liga dengan Monaco memburu gelaran pertama sejak 2000.

Radamel Falcao diketepikan kerana masalah otot, tetapi Monaco mendapat tonik dengan kehadiran semula Bernardo Silva dan Thomas Lemar dalam kesebelasan utama.

Kedua-dua penyerang itu hanya dimasukkan sebagai pemain gantian ketika mencatat kemenangan 4-3 di Marseille dalam aksi 16 terakhir Piala Perancis, Rabu lalu.

Mbappe dan Silva kemudiannya dikeluarkan awal dengan Jardim sudah mula mencongak strategi untuk pertemuan dengan Bordeaux, Jumaat ini selain aksi berdepan Manchester City pada 15 Mac depan.

Sementara itu, Dimitri Payet meledak gol menarik ketika Marseille bangkit daripada kekalahan besar kepada PSG dengan membelasah pasukan bawahan Lorient 4-1 di Brittany sekali gus melonjak ke tangga keenam liga.

Tandukan pertahanan Rolando meletakkan Marseille di depan seawal minit keenam, Payet menambah jaringan kedua buat pelawat sebelum menuju ke bilik persalinan.

Florian Thauvin meledak jaringan ketiga pada minit ke-53 sebelum Morgan Sanson menyumbangkan gol pertamanya buat Marseille sejak tiba daripada Montpellier pada Januari lalu.

Gol sagu hati Lorient dihasilkan pemain antarabangsa Cameroon Benjamin Moukandjo.

AFP

Berita Harian X