Ahad, 28 Disember 2014 | 3:42pm

Polis tahan 4 penyamun kedai serbaneka 24 jam

KUANTAN: Polis menahan empat lelaki bersenjatakan pedang samurai yang dipercayai menyamun sebuah kedai serbaneka 24 jam di bandar Kuala Rompin, Rompin awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Rompin, Supt Johari Jahaya, berkata polis menahan suspek selepas menerima maklumat daripada seorang pemandu lori penunda kenderaan yang mencurigai pelanggannya itu.

Beliau berkata, pemandu lori penunda itu mengesyaki suspek terlibat dalam kegiatan jenayah selepas kereta jenis Perodua Viva yang dinaiki mereka terbabas kira-kira 1 kilometer dari tempat kejadian.

Katanya, pengadu yang datang ke situ untuk menunda kenderaan selepas dihubungi suspek berasa curiga dengan mereka dan kemudiannya segera menghubungi polis.

"Polis yang menerima laporan itu bergegas ke lokasi kejadian sebelum memberkas semua suspek dan turut merampas kereta itu, sebuah telefon bimbit, sebilah pedang samurai, dua topeng dan wang tunai," katanya ketika dihubungi hari ini.

Johari berkata, terdahulu pada jam 5.30 pagi, suspek dipercayai menyamun kedai berkenaan dengan seorang daripada mereka berpura-pura membeli rokok sebelum datang dua lagi suspek yang memakai topeng.

Katanya, pekerja kedai terbabit bersama rakan sekerjanya terkejut dan panik selepas suspek tiba-tiba menghunus pedang panjang itu ke arahnya sebelum meminta wang di dalam kaunter dan rokok.

"Suspek bertindak merampas wang tunai RM1,000, rokok dan sebuah telefon bimbit milik pengadu sebelum melarikan diri," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal juga mendapati suspek dipercayai turut terlibat dalam beberapa kes samun kedai serbaneka di daerah Pekan dan Rompin.

- BERNAMA

Berita Harian X