Isnin, 6 March 2017 | 5:04pm

Shopeera portal e-dagang perniagaan koperasi


MUTADHO (tiga dari kiri) bersalaman dengan Daniel Phan pada majlis menandatangani memorandum persefahaman portal e-dagang, Shopeera di Kelana Jaya, hari ini. - Foto ZULFadhli Zulkifli

KELANA JAYA: Pertubuhan Koperasi ASEAN (ACO) dengan kerjasama MyAngkasa Holdings Sdn Bhd (MHSB) dan D&B Concepts Sdn Bhd melancarkan portal e-dagang, Shopeera, bagi memperkasakan perniagaan koperasi menerusi platform dalam talian.

Portal e-dagang berkenaan turut disasar untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif bagi memulakan Program E-Kerjasama ke seluruh rantau ASEAN.

Naib Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA), Mutadho Bahri, berkata pelancaran Shopeera menunjukkan komitmen ACO dalam memperkasakan perniagaan koperasi melalui platform dalam talian dalam pasaran domestik seterusnya dikembangkan ke rantau ASEAN.

"Program kerjasama yang diusahakan ini dapat menekankan peranan ACO dalam membantu koperasi menerokai bidang lebih berdaya saing dan mampu memberi impak kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara," katanya pada prapelancaran dan majlis menandatangani memorandum persefahaman portal e-dagang, Shopeera di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MHSB, Shaharuddin Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif D&B Concepts, Daniel Phan.

87 dibaca
Berita Harian X