Isnin, 6 March 2017 | 6:25pm

16 wad HSA beroperasi semula

PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Ayub Rahmat (dua dari kanan) diiringi Pengarah Kesihatan Johor, Dr Rooshaimi Merican A.Rahim Merican (kanan) dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor, Othman Abdullah (kiri) melawat tapak pameran selepas melancarkan Kerjasama Perkhidmatan Pra Hospital dan Ambulans Jabatan Kesihatan Negeri Johor bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Ayub Rahmat (dua dari kanan) diiringi Pengarah Kesihatan Johor, Dr Rooshaimi Merican A.Rahim Merican (kanan) dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor, Othman Abdullah (kiri) melawat tapak pameran selepas melancarkan Kerjasama Perkhidmatan Pra Hospital dan Ambulans Jabatan Kesihatan Negeri Johor bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

JOHOR BAHRU: Sebanyak 16 wad di Jabatan Kecemasan dan Trauma bangunan induk Hospital Sultanah Aminah (HSA) dekat sini, yang sebelum ini ditutup sementara berikutan tragedi kebakaran pada 25 Oktober tahun lalu, kini beroperasi semula secara berperingkat.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Ayub Rahmat, berkata dua lagi wad iaitu Unit Rawatan Rapi (ICU) Selatan dan Unit Rawatan Intensif Pembedahan Jantung (CICU) masih belum beroperasi bagi tujuan pemeriksaan dan pembaikan aspek teknikal serta keselamatan.

Katanya, lapan Dewan Bedah HSA dan Wad ICU Barat dengan kapasiti 27 katil itu sudah mula beroperasi sepenuhnya secara berperingkat sejak 3 Januari lalu.

"Semua wad dari tingkat dua hingga tingkat lima bagi kedua-dua sayap Timur dan Barat beroperasi secara berperingkat mulai 12 Februari lalu, kecuali wad ICU Selatan yang terbakar, selain CICU yang terletak di bawah wad ICU Selatan dan sebahagian wad bersalin yang terletak di atas wad ICU Selatan.

"Pihak HSA juga menerima laporan audit Keselamatan Kebakaran Bangunan Induk dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada 8 Disember tahun lalu bagi mengesyorkan empat langkah keselamatan kebakaran jangka pendek yang sudah pun dilaksanakan bagi tujuan pengoperasian semula bangunan induk HSA.

"Antara langkah keselamatan termasuk pelaksanaan Latihan Asas Organisasi Keselamatan Kebakaran bersama pihak JBPM, memasang Sistem Penggera Kebakaran jenis Pengesan Api, selain menambah Alat Pemadam Api jenis debu kering dan memastikan semua pintu keselamatan dan laluan keluar tiada halangan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian Kerjasama Perkhidmatan Pra Hospital dan Ambulans di parkir awam di depan Jabatan Kecemasan dan Trauma HSA dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Kesihatan Johor, Dr Rooshaimi Merican A Rahim Merican dan Pengarah JBPM Johor, Othman Abdullah.

Ayub berkata, sebelum ini wad yang terbabit dijangka beroperasi semula dalam tempoh enam bulan tetapi pihaknya berjaya melaksanakannya bagi tempoh yang singkat dan cekap dalam memenuhi keperluan perubatan pesakit.

"Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga membantu dengan mendirikan Hospital Medan yang mula beroperasi pada 3 November tahun lalu sehingga 8 Januari lalu bagi membolehkan pihak hospital melaksanakan kes pembedahan kecemasan," katanya.

Dalam tragedi pada 25 Oktober lalu, enam pesakit terkorban, manakala empat cedera membabitkan dua kakitangan HSA, seorang pesakit dan seorang pelajar yang sedang menjalani latihan industri.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X