Isnin, 6 March 2017 | 6:51pm

Usir duta tak jejas ekonomi negara - Rafidah


TAN Sri Rafidah Aziz. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia tidak akan terjejas susulan keputusan kerajaan mengisytiharkan Duta Korea Utara di Malaysia, Kang Chol sebagai 'Persona Non Grata'.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, Korea Utara bukan rakan dagang atau rakan kongsi pelaburan penting.

"Penting untuk menjaga hubungan ekonomi dengan rakan kongsi dua hala yang kukuh - negara yang mempunyai nilai dagangan atau pelaburan ketara," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara Institut Pemasaran Malaysia (IMM) dan Putra Business School (PBS) Universiti Putra Malaysia di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PBS, Prof Dr Zulkornain Yusop dan Presiden IMM, Datuk Sharifah Mohd Ismail.

Mengenai unjuran pasaran, Rafidah berkata, tekanan luaran akan berterusan memandangkan ekonomi maju lain masih tidak mencatatkan peningkatan yang baik.

Keadaan itu sekali gus menyebabkan ekonomi Malaysia turut berdepan cabaran daripada dolar Amerika Syarikat, euro dan yen yang stabil.

"Ia bukan disebabkan ekonomi Malaysia atau mata wang kita yang lemah, tetapi mata wang utama yang lebih kukuh.

"Tahap tadbir urus ekonomi yang kita ada akan menentukan bagaimana kita menangani cabaran luaran itu," katanya.

Terdahulu, MoA yang dimeterai antara IMM dan PBS adalah mengenai Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) berserta Program Pensijilan Asia Pemasar Profesional Bertauliah (CPM).

Mengikut MoA itu, graduan MBA dalam Pemasaran dari PBS akan turut layak menerima sijil CPM. - BERNAMA

12 dibaca
Berita Harian X