Isnin, 25 Ogos 2014 | 7:58pm

Pendapatan suku kedua FGV RM4.08 bilion, naik 36.5 peratus

KUALA LUMPUR: Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mencatat pendapatan RM4.08 bilion pada suku kedua berakhir 30 Jun 2014, meningkat 36.5 peratus berbanding RM2.99 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Keuntungan operasi meningkat dua kali ganda pada tempoh yang dikaji kepada RM438.15 juta daripada RM211.8 juta yang dicatat pada tempoh sama sebelumnya.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Mohd Emir Mavani Abdullah, berkata prestasi suku kedua itu sangat signifikan kepada FGV yang ketika ini dalam proses penstrukturan dan menyeragamkan semula perniagaannya menerusi pelan transformasi.

Beliau berkata, FGV sedang memberi fokus meningkatkan semua aspek perniagaan dan sedang meletakkan asas untuk menjadi syarikat perniagaan agro menjelang 2020.

"Proses transformasi kami akan menghasilkan kesan positif kepada semua rantaian nilai operasi, daripada penyepaduan operasi huluan Felda Holdings Bhd (FHB) dan pengeluaran produk konsumer," katanya dalam di sini hari ini.

Untuk tempoh enam bulan, pendapatan FGV meningkat 37.6 peratus kepada RM7.81 bilion, dengan keuntungan operasi meningkat 68.2 peratus kepada RM798.53 juta disebabkan oleh harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi dan penyepaduan FHB Group ke dalam FGV.

Bagaimanapun, keuntungan FGV bagi tempoh berkenaan menurun 21 peratus kepada RM422.74 juta berbanding RM535.11 juta pada tempoh sama 2013.

Keadaan itu disebabkan oleh perubahan caj nilai saksama (FV) dengan kerugian sebanyak RM217.7 juta bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding keuntungan RM176.52 juta bagi tempoh sama tahun lalu disebabkan Perjanjian Sewaan Tanah ( LLA) antara FGV dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

Mengikut perjanjian itu, FGV menyewa tanah ladang FELDA seluas 355,864 hektar bagi tempoh 99 tahun bermula 2012 hingga 2111 dengan keuntungan bersama sebanyak 15 peratus setiap tahun manakala kadar sewaan RM248.5 juta setahun akan disemak setiap 20 tahun.

Anggaran bayaran LLA itu bergantung kepada naik turun harga MSM, kos buruh dan kos baja.

Bermula 2012, FGV membayar LLA sebanyak RM500 juta kerana harga MSM ketika itu ialah RM3,000 setan, tetapi apabila harga CPO menurun kepada RM2,300 tahun lalu, FGV membayar anggaran LLA sebanyak RM300 juta.

Tahun ini, dianggarkan jika harga MSM berada pada RM2,500 setan, anggaran LLA yang perlu dibayar ialah RM400 juta dan keadaan itu turut mempengaruhi keseluruhan keuntungan FGV.

FELDA memiliki tanah seluas 850,000 hektar di bawah Akta Tanah Berkelompok (GSA) yang mana seluas 479,765 hektar untuk penempatan 112,635 keluarga peneroka, manakala selebihnya adalah tanah ladang yang disewakan kepada FGV di bawah LLA.

Berita Harian X